AM

PAC DAN JKPK AKAN BENTANG PENYATA LAPORAN DI DEWAN RAKYAT - JOHARI

17/07/2024 10:09 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) akan dibenar membentangkan penyata laporan masing-masing di Dewan Rakyat untuk memberi pemahaman kepada rakyat mengenai fungsi mereka dalam menangani isu semasa. 

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata perkara itu juga adalah sebahagian usaha bagi meningkatkan tahap akauntabiliti Dewan Rakyat.

Beliau berkata perkara itu diputuskan dalam pertemuan beliau dengan pengerusi kedua-dua jawatankuasa pada 24 Jun lepas. 

“Pada pertemuan itu, sudah dipersetujui bahawa pengerusi-pengerusi jawatankuasa ini perlu diberi ruang membuat penerangan mengenai penyata-penyata jawatankuasa masing-masing di Dewan Rakyat untuk memberi pendedahan dan liputan luas kepada rakyat berkenaan fungsi serta peranan PAC dan JKPK dalam membincangkan isu-isu semasa,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Johari berkata pada sesi persidangan 30 Nov 2023, beliau memaklumkan bahawa setakat Penggal Kedua Parlimen ke-15, Dewan Rakyat telah menempa sejarah yang membanggakan kerana tahap akauntabiliti badan eksekutifnya berada di tahap tertinggi menerusi keberkesanan urusan dewan, kamar khas dan jawatankuasa pilihan.

“Ini adalah penting bagi memastikan fungsi Dewan Rakyat untuk semak dan imbang badan eksekutif dapat dilaksanakan dengan lebih efektif, susulan itu usaha dibuat bagi meningkatkan lagi tahap akauntabiliti ini,” katanya.

Johari berkata walaupun sesi penerangan ini tidak akan dibahas namun beliau akan memberi ruang kepada Ahli Parlimen memberi pandangan atau mendapatkan penjelasan susulan.

Beliau berkata penerangan oleh PAC dan JKPK akan dilakukan berdasarkan Peraturan 14(1)(l) dibaca bersama Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan notis perlu diberikan untuk mendapatkan kebenaran Yang di-Pertua Dewan Rakyat sebelum sesi itu diadakan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan