AM

EMPAT RUU DIBAWA KE PERSIDANGAN DEWAN RAKYAT AKAN DATANG

18/07/2024 02:05 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Bacaan kali kedua dan ketiga empat Rang Undang-Undang (RUU) dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat ditangguhkan dan dibawa ke mesyuarat akan datang, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran.

Beliau berkata rang undang-undang itu ialah Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024, Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024, Rang Undang-Undang Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 serta Rang Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024.

"Rang undang-undang seperti yang tertera di nombor empat hingga tujuh dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan usul-usul pada hari ini ditangguhkan bacaan kali kedua dan ketiga dan dibawa ke mesyuarat akan datang," katanya ketika mengusulkan perkara itu. 

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 bacaan kali pertama dibentangkan di Dewan Rakyat pada 25 Mac lepas oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang antara lain bertujuan menurunkan had umur untuk memohon kewarganegaraan daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun.

Pindaan itu adalah supaya ia selaras dengan umur mengundi di Malaysia dan takrif kanak-kanak yang diperuntukkan dalam Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), serta umur dewasa di bawah Akta Umur Dewasa 1971 (Akta 211).

Bacaan kali pertama bagi tiga rang undang-undang berkaitan hal ehwal Islam pula dibentangkan pada mesyuarat kali ini oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Menurut takwim di laman rasmi Parlimen, persidangan Dewan Rakyat akan datang dijadual berlangsung pada 14 Okt hingga 12 Dis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan