EKONOMI

MITI KEKALKAN UNJURAN PERTUMBUHAN PELABURAN PADA 5.0 PERATUS TAHUN INI - TENGKU ZAFRUL

18/07/2024 05:48 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengekalkan unjuran pertumbuhan pelaburan sebanyak 5.0 peratus pada tahun ini walaupun dalam persekitaran pemulihan ekonomi domestik.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata sasaran yang ditetapkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) itu sejajar dengan sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Pada suku pertama 2024, kita telah membuat pengumuman, peningkatan (pelaburan) sebanyak 13 peratus berbanding suku tahun yang sama pada tahun lepas. Buat masa ini, (sasaran pelaburan) secara rasminya pada 5.0 peratus tetapi kami akan menyemak semula ini berdasarkan (keperluan) perancangan.

“Pada masa ini, 5.0 peratus (sasaran) berdasarkan kaitan dengan sasaran KDNK antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus tetapi kita akan lihat, ada perkara di luar kawalan kita,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan Kad Laporan MITI bagi suku kedua 2024 di sini hari ini.

Mengenai masa depan, katanya sektor ekonomi digital dan ekonomi hijau akan menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia, selain daripada sektor perkhidmatan.

“Ekonomi digital telah melepasi sasaran (pertumbuhan) kami sebelum ini sebanyak 22.6 peratus, meningkat kepada 23 peratus sehingga suku kedua 2024 dan kami telah menyemak semula sasaran sehingga 25.5 peratus daripada KDNK menjelang 2025,” katanya.

Mengenai impak daripada pengukuhan ringgit berbanding dolar AS, Tengku Zafrul berkata ringgit bukan satu-satunya petunjuk utama dalam penilaian pelabur.

Beliau berkata pelabur akan mempertimbangkan prospek jangka panjang dan sesuatu yang boleh dipercayai dalam membuat keputusan mereka.

Katanya situasinya berbeza apabila ia melibatkan pelaburan dalam pasaran modal dan turun naik ringgit akan memberi impak yang cepat.

Apabila pelabur asing membuat keputusan untuk melabur di negara ini, katanya ia akan mengambil masa kira-kira dua tahun atau lebih untuk melihat impaknya.

Mengenai hasrat Malaysia untuk menyertai organisasi antara kerajaan BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan), Tengku Zafrul berkata perbincangan kini diterajui oleh Kementerian Luar (MOFA) berikutan pakatan itu bukan blok ekonomi seperti pakatan ekonomi lain yang disertai oleh Malaysia.

“Buat masa ini, BRICS lebih seperti kumpulan diplomatik. Pada masa depan, jika ada rancangan untuk memasukkan perjanjian perdagangan atau kerjasama ekonomi (dalam pakatan itu), maka MITI akan terlibat (dalam peranan yang lebih besar).

“Pada peringkat ini, MITI tidak menerajuinya. Lazimnya, kami akan menerajui seperti blok-blok lain kerana elemen ekonomi bagi blok ini (dalam BRICS) lebih tidak langsung.

“Akhirnya, kami akan menerajuinya kerana elemen perdagangan dan kerjasama pelaburan akan menjadi faktor untuk membolehkan kelangsungannya. Namun, pada masa ini, pasukan itu diketuai oleh MOFA,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan