AM

DEWAN RAKYAT DITANGGUH SELEPAS 15 HARI BERSIDANG

18/07/2024 07:12 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 ditangguhkan hari ini selepas bersidang selama 15 hari bermula 24 Jun lepas, menyaksikan 27 rang undang-undang diluluskan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata persidangan kali ini juga menyaksikan Dewan Rakyat meluluskan Usul Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan SUHAKAM 2021 dan 2022 dengan 49 ahli Parlimen berbahas dan 17 menteri termasuk timbalan menjawab.

“Dewan Rakyat turut meluluskan Usul Laporan Ketua Audit Negara melibatkan 53 Ahli Yang Berhormat berbahas dan 14 menteri termasuk timbalan menteri menjawab. 

“Mesyuarat Kedua ini juga telah menerima lima Penerangan daripada Menteri-Menteri iaitu tiga di Dewan Rakyat dan dua di Kamar Khas,” katanya dalam ucapan penangguhan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata penerangan daripada menteri-menteri dalam Kamar Khas juga mendapat sambutan baik daripada ahli kerajaan dan pembangkang terutama berkenaan isu Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang dihadiri kira-kira 25 Ahli Parlimen.

Johari berkata mesyuarat ini juga buat julung kalinya menyaksikan penerangan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Mas Ermieyati Samsudin berhubung penyata PAC.

“Saya juga mengingatkan agar Ahli-ahli Yang Berhormat melaksanakan pemeriksaan kesihatan sebelum atau pada Isnin, 11 Nov depan sebagaimana yang dimasyhurkan saya semalam.

Sebelum mengakhiri ucapannya, Johari turut merafak sembah ucapan tahniah kepada Sultan Ibrahim atas pertabalan Seri Paduka Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17, Sabtu ini.

“Saya dan timbalan-timbalan (Yang Dipertua Dewan Rakyat) saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua ahli-ahli Yang Berhormat yang telah memberi kerjasama baik bagi membolehkan perjalanan Majlis Mesyuarat dapat disempurnakan sepanjang tempoh persidangan ini,” katanya.

Berdasarkan takwim di laman sesawang Parlimen, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 dijadual bermula pada 14 Okt hingga 12 Dis depan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan