SUKAN

JARINGAN SAAT AKHIR MORALES TEWASKAN KEDAH

20/07/2024 12:30 AM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) — Jaringan pemain gantian Romel Morales pada saat akhir memastikan Johor Darul Ta'zim (JDT) mempunyai kelebihan tipis selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 2-1 dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini. 

Sebaik perlawanan dimulakan JDT tidak sedikitpun gentar menjadi pasukan pelawat apabila terus mengasak dengan percubaan Bergson Gustavo pada minit ke-18 namun gagal disempurnakan sebelum Oscar Arribas membuka akaun pada jaringan minit ke-24. 

KDA FC kemudian membuat beberapa percubaan berbahaya dalam usaha menumpaskan benteng pertahanan Hector Pablo Bidoglio namun berjaya dihidu pasukan pelawat sehingga tamat separuh masa pertama. 

Bersambung babak kedua perlawanan, anak buah Mohd Nafuzi Mahammad Zain melancarkan serangan bertali arus namun kawalan ketat JDT membuatkan KDA FC seolah-olah ‘digari’ mereka sehinggalah Habib Haroon meledak gol penyamaan pada minit ke-87. 

Belum sempat KDA FC merasai kegembiraan, JDT terus melenyapkan harapan penyokong tuan rumah apabila Morales menjaringkan gol kemenangan pelawat pada minit perlawanan ke-90+9 dan memastikan juara bertahan itu memiliki bekalan tipis pada aksi timbal balik di laman sendiri di Stadium Sultan Ibrahim pada 3 Ogos depan.

Sementara itu, Terengganu FC (TFC) membawa bekalan tipis bertandang ke Stadium Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) selepas meraih kemenangan 3-2 ke atas Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Kuala Terengganu. 

Awal babak pertama menyaksikan pasukan pelawat lebih agresif mengasak kubu tuan rumah namun TFC yang ditekan bangkit mengatur serangan balas dan berjaya membuka gol pembukaan menerusi Muhammad Safawi Rasid yang menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-30.

Selang lima minit kemudian giliran Nurillo Tukhtasinov pula menggandakan jaringan tuan rumah namun kegembiraan lebih 31,000 penyokong skuad Penyu tidak bertahan lama apabila penyerang import kelahiran Belanda, Alvin Fortes meledak gol pertama The Red Giants pada minit ke-39. 

Pasukan pelawat yang semakin mendapat rentak kemudiannya hanya memerlukan sembilan minit (minit ke-48) untuk menyamakan kedudukan menerusi Noor Al-Rawabdeh yang melakukan rembatan cantik dari luar kotak penalti sebelum skuad Penyu kembali mendahului dengan 3-2 pada minit ke-70.

Gol ketiga TFC dijaringkan oleh penyerang kelahiran Nigeria, Ismaheel Akinade hasil hantaran Tukhtosinov.

Pada akhir babak permainan tuan rumah memperoleh beberapa peluang keemasan untuk membawa bekalan selesa ke Stadium MBP) pada 3 Ogos depan namun gagal melakukan penyudahan.

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan