BERITA TERGEMPAR   PRK Nenggiri: Jentera PH akan digerakkan bantu kempen calon BN- Fahmi | 
 AM

BUKAN HANYA GEORGE TOWN PUNYA WARISAN DAN LEGASI PENJAJAH

19/07/2024 03:47 PM

GEORGE TOWN, 19 Julai (Bernama) -- Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata bukan nama George Town sahaja perlu ditukar jika dianggap mempunyai kaitan dengan penjajah kerana terdapat nama tempat di negeri lain yang mempunyai warisan dan legasi penjajah.  

Beliau berkata isu berhubung nama George Town sebagai ibu negeri sering dibangkitkan dan pihaknya sudah memberi penjelasan berhubung perkara itu sebelum ini.

"Lain-lain nama (pun) ada warisan legasi zaman penjajah dan kita telah banyak kali jawab berhubung isu itu (George Town ditukar kepada Tanjung Penaga), kalau mahu tukar semua nama atau warisan penjajah dihapuskan atas bumi Malaysia ini satu keputusan besar.

"Bukan sekadar George Town sahaja warisan British malah ada juga warisan Portugal, Belanda dan lain-lain di bumi Malaysia serta ada juga banyak warisan bangsa lain selain bangsa tempatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival George Town 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan PAS Pulau Pinang yang menggesa kerajaan negeri mengembalikan nama asal George Town iaitu Tanjung Penaga yang melambangkan ‘identiti Malaysia’.

Menurut portal rasmi kerajaan negeri, sebelum nama Pulau Pinang popular, penduduk di Seberang Perai lebih mengenali negeri ini dengan nama Tanjong Penaga sempena nama pokok penaga yang tumbuh di sekitar tapak Fort Cornwallis.

Dipercayai nama atau singkatannya Tanjong masih digunakan dalam geran tanah yang dikeluarkan oleh kerajaan hingga tahun 1800.

Portal itu memaklumkan sehingga kini nama Tanjong begitu serasi dengan penduduk Pulau Pinang dan Seberang Perai apabila merujuk kepada bandar George Town.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan