AM

PELANCONG KE MALAYSIA MENINGKAT KEPADA 9.48 JUTA SETAKAT MEI - AHMAD ZAHID

19/07/2024 08:17 PM

PUTRAJAYA, 19 Julai (Bernama) -- Kedatangan pelancong antarabangsa ke Malaysia menunjukkan peningkatan memberangsangkan dengan 9.48 juta pelancong setakat Mei lepas, berbanding 7.48 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyasarkan kehadiran 27.3 juta pelancong antarabangsa dengan pendapatan RM102.7 bilion tahun ini.

“Kerajaan telah merangka dan melaksanakan pelbagai strategi untuk merangsang industri pelancongan termasuk program Malaysia My Second Home (MM2H), Kepengerusian ASEAN Tahun 2025, kempen VM2026 dan banyak aktiviti promosi yang lebih taktikal.

“Saya menyambut baik pandangan dan maklum balas daripada semua pihak terutama penggiat industri dalam memastikan usaha dan inisiatif ini mencapai objektif yang diharapkan,” kata beliau menerusi akaun rasmi X miliknya hari ini, selepas mengadakan sesi libat urus bersama penggiat industri pelancongan bersempena dengan Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Sesi itu diadakan sebagai ruang kepada kementerian dan industri bertukar-tukar pandangan dan mengenal pasti cabaran dihadapi dalam industri pelancongan negara.

Ahmad Zahid berharap semua kementerian dan pihak industri dapat berganding bahu dan komited menjayakan VM2026, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan bertaraf dunia.

“Industri pelancongan ialah pemacu penting ekonomi negara. Sektor ini memberi kesan positif kepada rantaian bekalan, peluang pekerjaan, pelaburan, pembangunan infrastruktur dan dapat mempromosikan budaya Malaysia ke seluruh dunia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan