AM

KERAJAAN TERUS TINGKAT USAHA SELAMATKAN HARIMAU MALAYA - NIK NAZMI

21/07/2024 12:55 PM

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Kerajaan terus komited untuk meningkatkan usaha pemuliharaan Harimau Malaya yang dianggarkan kurang 150 ekor ketika ini seluruh negara.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata antara usaha dilihat menunjukkan impak positif adalah penambahan bilangan renjer komuniti daripada 1,000 kepada 2,000 orang terdiri daripada veteran tentera, polis, orang asli dan komuniti setempat tahun ini.

"Kemajuan yang baik apabila ada renjer komuniti dalam habitatnya bagi membanteras pemburu haram.  Ini adalah usaha berterusan kita untuk memulihkan sebanyak mungkin koridor-koridor hidupan liar di kawasan tengah Semenanjung yang menjadi tempat rayau bagi harimau," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Larian demi Si Belang Sempena Hari Harimau Sedunia 2024 sejauh 3.5 kilometer di Taman Metropolitan Kepong di sini hari ini.

Beliau berkata habitat Harimau Malaya yang semakin berkurangan turut menjadi cabaran kerana ia meningkatkan konflik serta menimbulkan masalah kepada spesies ikonik negara berkenaan.

"Kadang-kadang ia melibatkan masalah pemakanan. Hidupan yang sepatutnya menjadi mangsa kepada harimau ini juga semakin berkurangan seperti babi hutan, rusa sambar ... itu juga menimbulkan masalah. Mereka akan keluar daripada kawasan hutan sebab tidak cukup makanan yang ada dalam hutan," katanya.

Mengenai larian anjuran WWF-Malaysia dan Maybank yang disertai lebih 1,000 peserta itu, Nik Nazmi berkata ia sebagai usaha memupuk kesedaran dalam kalangan orang ramai tentang Hari Harimau Sedunia yang akan disambut pada 29 Julai ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan