AM

JUALAN EHSAN RAHMAH SEMPENA PELANCARAN BULAN KEBANGSAAN TAWAR PELBAGAI BARANGAN BASAH

21/07/2024 11:36 AM

CYBERJAYA, 21 Julai (Bernama) -- Sebanyak 2,000 ayam segar dan 1,000 paket beras lima kilogram (kg) disediakan menerusi Jualan Ehsan Rahmah sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di sini hari ini.

Penyelaras program khemah jualan pelbagai produk makanan itu Rosnaini Abdul Malek berkata enam barangan utama termasuk ayam dan beras disediakan, dengan purata diskaun 20 hingga 30 peratus berbanding harga di pasaran.

“Barangan makanan utama lain yang dijual juga adalah telur ayam, ikan rakyat (pelbagai jenis seperti kembung, cencaru dan bawal), daging dan minyak masak paket 1kg, memandangkan ini antara barang yang menjadi pilihan utama orang ramai,” katanya kepada Bernama.

Beliau yang juga Pengurus Besar (Perniagaan dan Pemasaran) Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata setiap pembeli bagaimanapun hanya dibenarkan membeli dua ekor ayam dan satu paket beras sahaja tiap seorang kerana stok adalah terhad.

“Untuk stok telur ayam 700 papan disediakan dengan satu papan untuk seorang pembeli. Stok daging ada 400 paket dengan setiap paket seberat 900 gram (g) dan tiap seorang pembeli dibenarkan membeli dua paket sahaja.

“Bagi stok minyak masak paket adalah sebanyak 850 paket, dan tiap seorang hanya dibenarkan membeli dua paket, manakala untuk stok ikan ada 400 paket dengan tiap satu paket mempunyai enam ke tujuh ekor ikan yang boleh dibeli tanpa had,” katanya.

Selain enam barangan utama itu, 25 barangan lain turut dijual melalui Jualan Ehsan Rahmah antaranya minyak masak botol 5kg, gula, susu pekat, bihun dan karipap beku.

Rosnaini berkata pihaknya menganggarkan 1,000 pengunjung memanfaatkan Jualan Ehsan Rahmah yang dikendalikan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor dengan kerjasama kerajaan Selangor itu.

Sementara itu seorang pembeli Norezadatul Shahizad, 34, berkata Jualan Ehsan Rahmah ini sangat membantu rakyat untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup.

“Malah sekarang tengah bulan dan kewangan agak terhad. Jadi dengan adanya jualan sebegini, ia sangat membantu saya sekeluarga dalam aspek perbelanjaan. Kalau beli ayam kat pasar raya hampir RM20 tetapi di sini (Jualan Ehsan Rahmah) boleh beli ayam seekor pada setengah harga sahaja,” kata penduduk Kajang itu.

Sambutan Bulan Kebangsaan Dan Kibar Jalur Gemilang 2024 yang berkonsepkan karnival rakyat itu bermula 9 pagi hingga 4.30 petang, dengan pelbagai program disediakan bagi mengukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat menuju Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan sambutan itu pada pukul 3 petang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan