JENAYAH & MAHKAMAH

TIGA SELAMAT, SEORANG LEMAS BOT NELAYAN KARAM DI SEKINCHAN

21/07/2024 07:19 PM

SHAH ALAM, 21 Julai (Bernama) -- Tiga nelayan warga asing selamat manakala seorang lagi lemas apabila sebuah bot kelas C dinaiki mereka karam akibat cuaca buruk di perairan Pantai Redang, Sekinchan, Jumaat lepas. 

Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata pihaknya dimaklumkan berkaitan kejadian kira-kira 4 petang semalam oleh Balai Polis Sekinchan dan telah menggerakkan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Beliau berkata berdasarkan maklumat awal, tiga daripadanya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan berhampiran manakala seorang lagi mangsa telah hilang. 

"Lebih kurang 6.15 petang semalam, Balai Polis Sabak Bernam memaklumkan mayat mangsa ditemukan tersangkut pada jaring pukat bot nelayan tempatan di Bagan, Sekinchan. Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. 

"Usaha mencari mangsa melibatkan kira-kira 30 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi dan jabatan dengan kawasan pencarian seluas lima batu nautika persegi iaitu sekitar Perairan Pantai Sekinchan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Abdul Muhaimin berkata operasi ditamatkan pada 9 malam tadi manakala komuniti maritim diingatkan supaya sentiasa peka terhadap keselamatan di laut dan sentiasa menitikberatkan faktor keselamatan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan