SUKAN

DANIAL HAIQAL IDAM EMAS TENPIN BOLING DALAM PENYERTAAN TERAKHIR SUKMA 2024

21/07/2024 02:54 PM

KUANTAN, 21 Julai (Bernama) -- Atlet tenpin boling Pahang, Danial Haiqal Izwan Suhardi mengidamkan pingat emas sulungnya pada penampilan terakhir di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Danial Haiqal, 21, yang juga anak sulung kepada bekas pemain hoki kebangsaan Izwan Suhardi Selamat itu berkata segala persiapan telah dilakukan bagi memastikan misi memburu emas berjaya selepas merangkul dua perak pada edisi lepas masing-masing acara individu dan berpasangan.

“Kali ini harapan saya dapat sumbangkan emas pula kepada kontinjen Pahang. Temasya kali ini adalah penyertaan terakhir saya dan itu juga menjadi pemangkin yang menyuntik semangat untuk memperbaiki rekod pencapaian di SUKMA lepas,” katanya kepada Bernama semasa sesi latihan di sini baru-baru ini.

Atlet pelapis Pahang, Siti Nurin Najiha Syed Rohaizam, 15, pula berharap dapat menyumbang pingat pingat buat kontinjen Pahang pada penampilan sulungnya di temasya dwitahunan kebangsaan itu.

“Perasaan gembira kerana dapat terlibat dengan SUKMA dan baki masa yang ada sebelum berangkat ke Sarawak saya akan tumpu untuk memperbaiki kelemahan dalam permainan,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad di sini. 

Sementara itu, jurulatih pasukan Allan Chia Sen Ang berkata kekangan yang dihadapi adalah dari aspek waktu latihan kerana kebanyakan pemain adalah atlet baharu dan masih bersekolah.

“Setakat ini semua pemain berada dalam keadaan baik dan kita perlukan lebih waktu untuk latihan sebelum beraksi dalam tempoh beberapa minggu lagi,” katanya yang juga bekas atlet negara.

SUKMA ke-21 menyaksikan Pahang menyasarkan 40 pingat emas dengan mempertaruhkan 603 atlet yang akan menyertai 36 acara, masing-masing 327 lelaki dan 276 wanita dengan 50 peratus daripada mereka merupakan atlet baharu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan