AM

KANDUNGAN FACEBOOK RTM DISALAH TERJEMAH OLEH SISTEM FACEBOOK - RTM

21/07/2024 03:47 PM

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini menjelaskan bahawa pihaknya tidak memuat naik sebarang maklumat rasmi dalam bahasa Inggeris berhubung Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di istana Negara semalam, seperti yang ditularkan.

Bahagian Perhubungan Awam Jabatan Penyiaran Malaysia dalam kenyataan memaklumkan bahawa apa yang dipaparkan di laman Facebook Rasmi RTM adalah terjemahan automatik oleh sistem Facebook.

“Jika pengguna mengaktifkan terjemahan automatik, maka terjemahan bahasa Inggeris akan muncul.

“Terjemahan bahasa Inggeris oleh sistem Facebook tersebut adalah salah. RTM tidak memuat naik sebarang kandungan ucapan takziah sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa RTM telah membuat laporan polis, dan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menghubungi META berkaitan salah terjemahan oleh sistem META itu.

“META juga telah mengesahkan bahawa mereka telah membetulkan ‘masalah’ tersebut,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dalam Facebook rasmi beliau turut melahirkan rasa kesal terhadap sesetengah pihak yang menuduh RTM membuat hantaran jelik dalam bahasa Inggeris.

“Ada orang tuduh RTM buat FB post jelik dalam Bahasa Inggeris. Padahal posting asal dalam BM. Kemudian disebar fitnah, sampai ada yang minta saya “h*ng himself” (bunuh diri sendiri). 

“Jangat buat begini. Berlaku adillah kepada RTM. Jangan Fitnah,” katanya dalam catatannya itu.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan