EKONOMI

KERAJAAN SASAR KURANGKAN PINJAMAN TAHUNAN KEPADA RM86 BILION PADA 2024 - PM ANWAR

22/07/2024 03:51 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Kerajaan menyasar untuk mengurangkan pinjaman tahunan negara kepada RM86 bilion pada 2024 daripada RM93 bilion pada 2023 dan RM100 bilion pada 2022 dengan rasionalisasi subsidi merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk mencapai matlamat itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, bagi mencapai sasaran pinjaman tahunan yang lebih rendah, kerajaan perlu memastikan perbelanjaan lebih berhemat, mengelakkan pembaziran dan hanya meminjam apabila perlu untuk tujuan pembangunan.

“Sewajarnya, rasionalisasi subsidi adalah usaha komprehensif yang merangkumi spektrum yang lebih meluas (untuk membantu mengurangkan pinjaman tahunan kerajaan).

“(Usaha lain termasuklah) menangani rasuah dan (menjalankan) cara yang lebih cekap untuk menguatkuasakan undang-undang dan usaha percukaian,” kata beliau sambil menambah pinjaman penting kepada negara untuk membayar sebahagian daripada hutang tertunggak. 

Anwar, yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucap tama pada pelancaran Persidangan Cukai Kebangsaan 2024, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai sama ada kerajaan merancang untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi RON95, beliau berkata, buat masa ini isu tersebut tidak dibangkitkan. 

“(Isu rasionalisasi subsidi RON95) tidak dibangkitkan, kita tengah deal (memberi penjelasan) mengenai diesel.. beri kefahaman betul-betul sebab kadang-kadang, (isu ini) dipusingkan.”

“Tetapi kalau (rasionalisasi subsidi) tak dibuat, hasil tak bertambah, hutang bertambah,” kata beliau.

Bagaimanapun, Anwar berkata sekiranya rakyat menghadapi masalah dengan subsidi diesel mereka harus memaklumkan kepada kerajaan, kerana kerajaan tidak mahu membebankan rakyat.

Terdahulu dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata pada masa ini nisbah hutang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara berada pada 64 peratus.

“Itu terlalu tinggi dan sudah melepasi had yang sepatutnya,” kata beliau

Anwar berkata sekiranya dasar yang tidak bertanggungjawab ini diteruskan, Malaysia tidak akan dapat mencapai pelaburan seperti yang diterima sekarang dan unjuran pertumbuhan keluaran dalam  negara kasar (KDNK) sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua 2024.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan