EKONOMI

KENANGA KEKAL UNJURAN PERTUMBUHAN KDNK SUKU KEDUA 2024 PADA 4.5-5.0 PERATUS

22/07/2024 06:02 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd mengekalkan unjuran pertumbuhannya bagi 2024 pada 4.5 peratus hingga 5.0 peratus, dengan kecenderungan meningkat ke arah mencapai sasaran lebih tinggi.

Menurutnya ini dilaksanakan walaupun jangkaan awalan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi suku kedua 2024 adalah lebih kukuh berbanding jangkaan iaitu pada 5.8 peratus.

“Walaupun kami menjangkakan pertumbuhan stabil pada separuh kedua 2024, risiko penurunan adalah berterusan, terutama berpunca daripada sektor luar.

“Risiko ini termasuk potensi kelembapan dalam ekonomi maju berikutan kesan persekitaran kadar faedah lebih tinggi seperti yang dicerminkan dalam pasaran buruh yang semakin reda di Amerika Syarikat (AS),” katanya menerusi nota penyelidikan Economic Viewpoint hari ini.

Kenanga berpandangan bahawa prestasi eksport kekal lemah dan bergantung kepada pemulihan ekonomi China dan prestasi ekonomi AS.

Menurutnya ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, terutama kesan daripada krisis Laut Merah yang telah menyebabkan kesesakan di pelabuhan global dan kelewatan penghantaran, ketegangan baharu AS-China serta ketidaktentuan disebabkan pilihan raya global khususnya di AS, boleh memberi kesan kepada sentimen dan rantaian bekalan global, seterusnya menjejaskan prospek pertumbuhan.

Dari segi dalam negara, katanya pembaharuan fiskal kerajaan, khususnya rasionalisasi subsidi bahan api, boleh menjejaskan perbelanjaan pengguna, meskipun ia perlu untuk meningkatkan kedudukan fiskal negara dan membina semula penampan masa depan.

“Malah, kami terus menjangkakan permintaan domestik akan kekal sebagai penyokong utama trajektori pertumbuhan, memandangkan pasaran buruh yang stabil dan kesan positif daripada pengeluaran Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja selain peningkatan kedatangan pelancong yang berterusan,” katanya.

Kenanga turut menjangkakan pemulihan beransur-ansur dalam sektor perkilangan, terutama segmen berorientasikan eksport dan berkaitan teknologi berikutan kitaran meningkat teknologi, yang akan terus menyokong pertumbuhan domestik.

"Ini akan diperkukuhkan lagi dengan realisasi pelaburan asing dan domestik yang diluluskan sebelum ini," katanya. 

DOSM dalam kenyataan jangkaan awalan KDNK baru-baru ini berkata ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2024 (suku pertama 2024: 4.2 peratus), menjadikan pertumbuhan purata bagi separuh pertama 2024 kepada 5.0 peratus. 

Kenanga berkata angka ini lebih tinggi berbanding unjurannya iaitu 5.1 peratus dan konsensus Bloomberg pada 4.7 peratus, dengan 16 menganggarkan pada julat 3.7 peratus hingga 5.1 peratus.

DOSM akan mengeluarkan prestasi KDNK suku kedua 2024 sebenar, yang dibahagikan kepada permintaan dan penawaran yang terperinci pada 16 Ogos, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan