EKONOMI

BWYS GROUP DISENARAIKAN DI PASARAN ACE DENGAN PREMIUM 45 PERATUS

22/07/2024 04:10 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Saham pengeluar produk kepingan logam dan pembekal perancah, BWYS Group Bhd yang membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia, dibuka pada 32 sen, mewakili premium sebanyak 45 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 22 sen. 

Sejumlah 33.92 juta saham diniagakan pada pembukaan.

Ketua Pegawai Operasi BWYS Ken Lau Ken Wah berkata pihak pengurusan "sangat berpuas hati" dengan harga pembukaan itu, membuktikan rekod prestasi syarikat yang cemerlang dan prospek pertumbuhan yang menjanjikan.

“Kami gembira kerana harga saham dalam pasaran telah mencerminkan sentimen ini. Kami akan menumpukan usaha untuk melaksanakan rancangan kami termasuk menubuhkan kilang baharu di Pulau Pinang,” katanya pada sidang media selepas majlis penyenaraian di sini hari ini.

Kilang baharu itu dijangka meningkatkan ruang gudangnya sebanyak kira-kira 10 kali ganda, sekali gus memberikan pengurusan inventori yang lebih baik kepada kumpulan, kata Lau.

Beliau berkata dari segi prestasi kewangan, hasil BWYS Group meningkat kepada RM246.08 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023, daripada RM130.86 juta pada tahun kewangan 2020, iaitu mencapai kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) tiga tahun sebanyak 23.4 peratus.

Bagi tahun kewangan 2023, 95.6 peratus daripada hasil kumpulan dijana dalam negara, dengan baki (4.4 peratus) datang dari Amerika Syarikat dan negara lain, termasuk Singapura, Indonesia, Australia, Bangladesh, Filipina, Emiriah Arab Bersatu, Brunei, dan Kuwait.

BWYS turut merancang untuk mengembangkan operasi dalam pasaran baharu dan sedia ada, dengan memanfaatkan rangkaian jualan semula, sekali gus mengurangkan pelaburan besar untuk sumber dan kemudahan di luar negara, katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Pengarah Urusan Kang Beng Hai berkata BWYS Group memegang 11 peratus bahagian pasaran kepingan dan kekuda bumbung logam di negara ini pada 2023.

"Kami sedang mengembangkan kapasiti pengeluaran kami dengan kilang baharu seluas 197,153 kaki persegi di Pulau Pinang. Peluasan strategik ini bukan sahaja akan menyelesaikan kekangan ruang sedia ada tetapi juga membolehkan kami memperkenalkan barisan pengeluaran baharu," katanya. 

Pada penyenaraian hari ini, kumpulan itu menyasarkan untuk mencapai permodalan pasaran sebanyak RM225.5 juta berdasarkan modal saham terbitannya yang diperbesarkan sebanyak 1.03 bilion saham, katanya.

M & A Securities Sdn Bhd ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan