SUKAN

LEONA CHIN PAMER PEMANDUAN MANTAP DI CCSC

22/07/2024 05:31 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Pemandu kelahiran Malaysia Leona Chin mempamerkan aksi hebat dalam perlumbaan China Circuit Sprint Challenge (CCSC) apabila mencipta kemenangan berganda hujung minggu lepas.

Lebih membanggakan ialah kejayaan Leona mendominasi Perlumbaan Ketiga dan Keempat, mengetepikan sembilan pelumba lelaki dalam perlumbaan M235i BMW.

Kecemerlangan pelumba berusia 37 tahun itu bermula dengan kejayaan menempah petak pertama pada Perlumbaan Ketiga pusingan kelayakan, Sabtu lepas di Tianjin V1 International Circuit.

Momentum kejayaan terus dikekalkan Leona pada hari berikutnya apabila beliau mempamerkan pemanduan hebat yang mengagumkan, mengekalkan kedudukan dari awal perlumbaan sehingga tamat untuk mengungguli Perlumbaan Ketiga. 

“Kemenangannya dalam Perlumbaan 3 membolehkan beliau berada di petak pertama bagi Perlumbaan Keempat yang berlangsung pada petang sama, yang menyaksikan beliau berjaya melakar satu lagi kemenangan walaupun berhadapan dengan cabaran enjin kereta yang terlalu panas dan persaingan yang sengit,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan