AM

500 PESERTA CABAR DIRI TAWAN BUNG MUAN PADA HARI BERSEJARAH SARAWAK

23/07/2024 12:07 AM

BAU (Sarawak), 22 Julai (Bernama) -- Tidak mensia-siakan cuti umum sempena sambutan Hari Sarawak ke-61 hari ini, kira-kira 500 penduduk dari sekitar daerah ini mengambil peluang mencabar diri ‘menawan’ puncak Gunung Serembu, yang terletak kira-kira 25 kilometer dari bandar Kuching.

Dikenali sebagai Bung Muan oleh masyarakat Bidayuh, gunung tersebut juga merupakan Tapak Warisan Rajah Brooke dan memakan masa kira-kira dua jam untuk sampai ke puncak sekiranya menggunakan pintu masuk dari Kampung Peninjau Lama Siniawan di sini.

Aktiviti pendakian itu diadakan juga sempena Hari Terbuka Buang Muan anjuran Persatuan Asal Serembu Bau yang disambut masyarakat di sekitar gunung tersebut dan kebetulan ia jatuh pada tarikh sambutan Hari Sarawak.

Pengerusi Pengelola Hari Bung Muan Harem Perim berkata tujuan program itu dianjurkan antaranya untuk mengetengahkan keunikan kaum Bidayuh yang mendiami kawasan ini dan bersesuaian dengan hari bersejarah negeri ini.

“Gunung ini mempunyai sejarahnya tersendiri kerana sewaktu pemerintahan Rajah Brooke dahulu terdapat 24 rumah rumah panjang di atas gunung dan kini perkampungan yang terdapat di sekitar kawasan ini berasal dari rumah panjang tersebut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau yang merupakan generasi keempat mendiami kawasan itu, berkata sambutan orang ramai terhadap aktiviti mendaki Bung Muan setinggi 1,646 meter dari paras laut itu amat menggalakkan dengan kehadiran kira-kira 500 peserta daripada pelbagai latar belakang seawal 7.30 pagi. 

Dengan penyertaan secara percuma, setiap peserta berdepan laluan pendakian berakar yang mencabar serta ‘pacak’ ditambah dengan trek berbatu sepanjang perjalanan sejauh 2.5 kilometer menuju ke puncak. 

Sementara itu, segak berbaju kurta ‘ala-Bollywood’ seorang guru Hasri Kreni, 35, yang berasal dari Asajaya berkata beliau memanfaatkan cuti umum Hari Sarawak dengan mengajak tujuh rakannya menyertai program tersebut.  

“Saya dan rakan-rakan daripada kumpulan senaman ‘FatWar Samarahan’ mengetahui acara ini setelah melihat iklan di laman Facebook, jadi masing-masing dah berjanji untuk berpakaian tradisional seperti baju kurung dan sebagainya setibanya di puncak. 

“Hari ini merupakan hari kebanggaan rakyat Sarawak dan ini antara cara kami menghayatinya, jadi saya harap anak Sarawak akan turut memanfaatkan hari bersejarah ini untuk tatapan generasi seterusnya,” katanya ketika ditemui di puncak gunung.

Melihat kepada sambutan tahun ini, Pengerusi Persatuan Asal Serembu Bau Wilson Spilak Asui berharap program itu akan dikembangkan pada tahun hadapan seterusnya menjadi acara tahunan yang berpotensi kepada industri pelancongan di kawasan itu.

“Masih ada ruang untuk penambahbaikan, jadi diharapkan tahun depan kita dapat ruang lebih besar dan tempat parkir lebih banyak untuk orang awam,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan