DUNIA

6 TERBUNUH, 4 CEDERA DALAM TEMBAKAN DI CROATIA

23/07/2024 12:06 AM

ZAGREB, 22 Julai (Bernama-Xinhua) -- Enam orang terbunuh dan empat lagi cedera dalam kejadian tembakan di Rumah Orang Tua di Daruvar, timur Croatia, pada Isnin, menurut polis tempatan, lapor Xinhua.

Polis berkata kejadian tembakan berlaku sekitar jam 10.10 pagi waktu tempatan apabila suspek, seorang bekas polis tentera berusia 51 tahun, Kresimir Pahoki, memasuki premis itu dan melepaskan tembakan, membunuh lima orang di tempat kejadian, termasuk empat penghuni warga emas dan seorang penjaga. Seorang lagi meninggal dunia kemudian akibat kecederaan di hospital.

Antara yang terkorban adalah ibu Pahoki, seorang penghuni di rumah jagaan itu.

Selepas serangan itu, Pahoki dilaporkan berjalan ke sebuah kafe berhampiran, memesan minuman dan menunggu polis untuk menangkapnya, menurut saksi.

Presiden Croatia Zoran Milanovic dan Perdana Menteri Andrej Plenkovic mengutuk serangan itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Milanovic mendoakan agar yang cedera cepat sembuh dan memuji tindakan pantas perkhidmatan perubatan kecemasan. Beliau juga menyeru agar siasatan "cepat dan menyeluruh" dijalankan serta memperketatkan kawalan pemilikan senjata.

Plenkovic meminta pihak berkuasa menentukan semua keadaan jenayah itu. Siasatan sedang dijalankan.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan