EKONOMI

KERAJAAN KOMITED KURANGKAN NISBAH HUTANG KEPADA KDNK KEPADA 60 PERATUS DALAM LIMA TAHUN

23/07/2024 11:50 AM

Oleh Niam Seet Wei & Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Sejajar dengan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal, kerajaan komited untuk mengurangkan pinjaman dari segi nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 60 peratus dalam tempoh lima tahun daripada 64 peratus pada masa ini untuk memastikan kedudukan fiskal lebih kukuh dan lebih mampan untuk negara, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

Beliau berkata kerajaan telah mula mengurangkan pinjaman bersih tahunan secara beransur-ansur, daripada kira-kira RM100 bilion bagi 2021 dan 2022 kepada RM93 bilion pada 2023, dan menyasarkan RM86 bilion pada 2024.

Ini dicapai melalui pengukuhan fiskal, mengurangkan defisit fiskal tahunan daripada 5.6 peratus daripada KDNK pada 2022 kepada 5.0 peratus pada 2023 dan 4.3 peratus pada 2024, katanya.

“Antara usaha yang dilakukan untuk mengurangkan defisit tahunan adalah menyasarkan semula subsidi, menghapuskan rundingan terus untuk projek kerajaan yang akan digantikan dengan tender, lebih berhemat dalam perbelanjaan seperti dari segi perjalanan ke luar negara,” katanya kepada Bernama di luar acara perasmian Persidangan Percukaian Kebangsaan 2024, di sini pada Isnin.

Beliau berkata penjimatan tahunan RM4 bilion daripada rasionalisasi subsidi diesel yang dilaksanakan pada 10 Jun, 2024 akan menyumbang ke arah mengurangkan keperluan pinjaman tahunan kerajaan.

Kementerian Kewangan (MOF) menyatakan dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen pada 15 Julai, 2024 bahawa bagi Januari hingga April 2024, hutang kerajaan meningkat sebanyak RM50 bilion kepada RM1.22 trilion setakat akhir April 2024, berbanding RM1.17 trilion setakat akhir 2023.

Johan menjelaskan nilai mutlak hutang akan terus meningkat selagi kerajaan menanggung defisit fiskal, dan kerajaan terus mengalami defisit kerana keperluan meminjam untuk melabur dalam perbelanjaan pembangunan penting seperti membina hospital, sekolah, jalan raya, infrastruktur asas dan perkhidmatan awam.

“Bagi mencapai tahap hutang kerajaan yang lebih mampan, kita akan terus mengurangkan defisit fiskal tahunan, untuk memastikan pinjaman keseluruhan kerajaan tidak meningkat lebih cepat daripada pertumbuhan ekonomi kita, ke arah mencapai sasaran hutang kepada KDNK di bawah 60 peratus,” katanya.

Beliau juga berkata kerajaan tidak akan mengurangkan defisit fiskal tahunan dengan ketara memandangkan keperluan untuk menyokong pembangunan negara, keperluan infrastruktur untuk rakyat dan menyokong momentum pertumbuhan ekonomi.

Ketika menyampaikan ucaptama merasmikan Persidangan Percukaian Kebangsaan 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rasionalisasi subsidi adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk mengurangkan pinjaman bersih tahunan kepada RM86 bilion pada 2024 daripada RM93 bilion pada 2023 dan RM100 bilion pada 2022.

Beliau berkata untuk mencapai keperluan pinjaman tahunan yang lebih rendah, kerajaan perlu memastikan perbelanjaan berhemat, mengelakkan pembaziran, dan hanya meminjam apabila perlu untuk tujuan pembangunan yang benar-benar memenuhi keperluan rakyat.

“Penyasaran semula subsidi adalah komponen utama dalam usaha reformasi fiskal komprehensif kerajaan untuk mengurangkan pinjaman tahunan kerajaan.

“Usaha lain termasuk mengurangkan pembaziran dengan menangani korupsi dan melaksanakan cara yang lebih cekap dalam menguatkuasakan undang-undang dan usaha percukaian,” kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan