AM

PROSEDUR, SISTEM KOMUNIKASI DI LAPANGAN TERBANG BOLEH DITAMBAH BAIK - LOKE

23/07/2024 04:22 PM

NILAI, 23 Julai (Bernama) -- Susulan masalah kelewatan penerbangan minggu lepas yang berpunca daripada gangguan sistem teknologi maklumat (IT), beberapa perkara berkaitan prosedur dan sistem komunikasi di lapangan terbang dilihat boleh ditambah baik.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata gangguan itu merupakan sesuatu di luar jangkaan selain turut memberi kesan kepada beberapa sektor lain.

“Lapangan terbang mereka terpaksa daftar masuk melalui manual, ia mengambil masa, apabila satu penerbangan terlewat, ia akan bagi impak kepada banyak penerbangan, saya rasa perkara ini boleh ditambah baik dari segi prosedur dan sistem komunikasi,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Permotoran di Sekolah Menengah Kebangsaan Mantin, Nilai di sini hari ini.

Loke berkata gangguan IT itu turut menjejaskan beberapa syarikat penerbangan negara lain yang terpaksa membatalkan penerbangan berikutan masalah tidak diduga itu.

Beliau berkata pengguna yang mempunyai masalah berkaitan perkhidmatan penerbangan diminta membuat aduan kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

“Saya memahami bahawa pelanggan memang tidak puas hati kalau kelewatan, tetapi pada masa yang sama kena juga lihat keseimbangannya, syarikat penerbangan perlu mengambil kira tentang keselamatan, jika mereka tidak patuhi keadaan akan menjadi lebih teruk.

“Aspek keselamatan penumpang adalah keutamaan, kita tidak boleh kompromi jika berlaku sebarang insiden siapa yang hendak bertanggungjawab? Lebih baik dimarahi daripada kita mengkompromikan keselamatan, itu yang saya harap semua pihak faham,” katanya.

Dalam majlis hari ini Loke berkata TVET menjadi pemacu utama dan pengubah keadaan dalam usaha melahirkan tenaga mahir tempatan dalam industri berteknologi tinggi.

Beliau berkata selaras dengan itu, program berkenaan diharap dapat mempromosi dan memberikan kesedaran tentang kepentingan TVET dalam pendidikan kepada pelajar sekolah, mahasiswa, warga pendidik, ibu bapa dan masyarakat setempat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan