EKONOMI

KERJASAMA KERAJAAN PERSEKUTUAN-NEGERI TERAS PERSEKITARAN PERNIAGAAN DINAMIK - ZAFRUL

25/07/2024 06:16 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Usaha kolektif antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri adalah penting untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih teguh dan dinamik di Malaysia, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, dengan menyelaraskan strategi dan sebagai pelengkap sumber antara satu sama lain, kerajaan Persekutuan dan negeri boleh menyokong industri tempatan dengan baik dan menarik lebih banyak pelaburan ke Selangor dan Malaysia.

“Bagi merebut peluang ini, Malaysia perlu membangunkan ekosistem yang kondusif terhadap inovasi, keusahawanan dan pelaburan.

"Aspek ini termasuk memberikan sokongan kepada usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana serta mendorong perkongsian yang teguh antara sektor awam dan swasta," katanya semasa berucap pada Siri Invest Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bertajuk ‘Selangor Unfolding Its Business Potential’ (Selangor Membuka Potensi Perniagaannya) di sini hari ini.

Program ini diadakan bersempena dengan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 selama tiga hari yang bermula hari ini.

Tengku Zafrul turut berkongsi kemajuan yang diraih menerusi kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri. 

Beliau berkata, sebagai contoh, pada tahun lepas, sebanyak 130,000 peluang pekerjaan diwujudkan melalui pelaburan diluluskan yang meningkat kepada paras tertinggi dalam sejarah, berjumlah RM329.5 bilion. 

Tengku Zafrul berkata, sebanyak RM55 bilion daripada jumlah itu diraih oleh Selangor.

“Bagi suku pertama tahun ini, pelaburan diluluskan meningkat 13 peratus tahun ke tahun kepada RM83.7 bilion. Daripada jumlah ini, lebih 56 peratus disumbangkan oleh pelaburan asing diluluskan.

“Pelaburan ini akan mewujudkan 29,000 pekerjaan baharu, menunjukkan kenaikan 14.6 peratus tahun ke tahun kepada negara,” katanya sambil memaklumkan Selangor merupakan antara negeri penyumbang utama dari segi pelaburan sebanyak RM12.4 bilion pada suku berkenaan.

Beliau berkata dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, Selangor menyaksikan pelaburan yang ketara dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan, menjadikannya sebagai hab inovasi dan pertumbuhan Malaysia.

“Kita perlu membina keteguhan dan asas yang sedia ada untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang 2025, dan Selangor, yang mempunyai banyak kekuatan, memainkan peranan penting untuk mencapai matlamat itu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan