JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Ambil Tindakan Tegas Individu Sertai Perhimpunan Di Hadapan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tambun

26/07/2024 05:32 PM

IPOH, 26 Julai (Bernama) -- Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menyertai perhimpunan anjuran Sekretariat Selamatkan Malaysia, yang akan diadakan hadapan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun, Bandar Meru Raya pada Sabtu, 27 Julai.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata walaupun pihaknya menerima pemakluman daripada penganjur, namun ia tidak lengkap serta tidak mematuhi syarat ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Tindakan tegas akan diambil, kerana perhimpunan itu tidak mendapat kebenaran daripada pemilik tanah seperti ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

“Pihak polis menasihatkan supaya orang ramai tidak menyertai perhimpunan ini, kerana ia merupakan satu perhimpunan yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, polis mengesan satu video dimuat naik pemilik akaun laman media sosial Facebook yang memaklumkan bahawa satu perhimpunan ‘Mahkamah Rakyat Hukum Anwar’, akan diadakan di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tambun, esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan