EKONOMI

Ambil langkah berani demi ekonomi lebih kukuh

28/07/2024 10:21 AM

Oleh Wong Chun Wai

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Lazimnya, berita buruk cepat tersebar di media sosial. Malangnya, berita baik, kurang mendapat perhatian.

Ringgit, misalnya terus menjadi mata wang yang mencatatkan prestasi terbaik di rantau Asia berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Ia mencatatkan peningkatan yang progresif dan turut meningkatkan nilainya, didorong oleh gabungan faktor domestik dan luaran yang menggalakkan.

Secara ringkasnya, selepas melalui tempoh yang sukar, ringgit mencatatkan prestasi stabil dan diniagakan di bawah paras RM4.70 berbanding dolar AS selama dua minggu. Unjurannya ialah ringgit akan berada pada RM4.60 menjelang akhir tahun ini.

Malaysia telah mengambil langkah yang tepat untuk membina semula rizab luaran melalui langkah-langkah membawa pulang ringgit dan pertukaran mata wang asing.

Langkah rasionalisasi subsidi, walaupun dianggap tidak popular dari segi politik dan tidak memberikan kelebihan, bagi kerajaan MADANI, ia adalah tindakan yang wajar untuk dilakukan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil langkah berani dengan mengurangkan perbelanjaan kerajaan untuk subsidi, kerana jika diabaikan, sebagaimana satu keputusan populis, ia akan menjejaskan ekonomi negara dalam jangka masa panjang.

Tiada masa yang lebih tepat untuk melaksanakan langkah sedemikian tetapi dengan pilihan raya umum yang masih berbaki tiga tahun lagi dan dengan kerajaan yang stabil, ini adalah tempoh yang terbaik.

Lihatlah angka-angka ini. Putrajaya telah memperuntukkan RM64 bilion untuk subsidi pada 2023 tetapi membelanjakan RM81 bilion, 26 peratus lebih tinggi daripada unjuran berikutan kenaikan harga bahan api disebabkan perang Ukraine-Rusia.

Seperti yang dinyatakan oleh Anwar pada majlis makan malam anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia pada Khamis, walaupun ia rasional dari segi ekonomi, ia sukar dari segi politik. 

Pada Mei, Anwar berkata subsidi diesel bersasar dapat menjana penjimatan kira-kira RM4 bilion setahun, yang bermula pada 10 Jun.

Ini menyaksikan harga diesel ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter di Semenanjung Malaysia, dengan harga kekal pada RM2.15 seliter di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Subsidi diagihkan kepada mereka yang layak melalui inisiatif BUDI MADANI dan kad fleet di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Ini bukanlah topik yang berupaya mengekalkan kehadiran penonton di ceramah-ceramah politik, khususnya dalam mewajarkan satu-satu keputusan ekonomi.

Tindakan melontarkan tuduhan retorik politik dan mengecam kerajaan, mungkin sesuatu yang menghiburkan, namun realiti bebanan hutang besar yang kita tanggung sekarang ini, malangnya, adalah legasi pentadbiran terdahulu yang enggan menanganinya.

Majalah kewangan Forbes menerusi rencana bertarikh 10 Julai lepas, melaporkan bahawa Anwar bertindak tepat dalam membuat banyak keputusan ekonomi.

“Dari segi pengoptimuman kos, pentadbiran diterajui Anwar mengambil tanggungjawab politik yang mencabar dalam merasionalisasikan subsidi dan menguruskan kos perkhidmatan awam.

“Usaha transformasi penjawat awam baharu kepada skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) -- dijangka dapat mengurangkan kos pencen untuk jangka panjang, adalah satu langkah yang besar.

“Langkah ini bertujuan mengurangkan bebanan kewangan kerajaan dengan mengalihkan liabiliti pencen masa depan kepada model yang lebih mapan,” katanya.

Forbes melaporkan Malaysia turut menyaksikan pentadbiran sekarang bertindak mempercepat kelulusan pelaburan langsung asing (FDI) dan memudah cara kaedah menjalankan perniagaan di negara ini, terutamanya dalam sektor bernilai tinggi seperti fabrikasi semikonduktor dan teknologi digital.

Selain itu, laporan agensi berita Reuters pada 17 Mei lepas dengan tajuk ‘Malaysia’s economy grows faster than expected, inflation risks cloud outlook,’ mengetengahkan prestasi baik kita pada suku pertama 2024, disokong oleh perbelanjaan isi rumah dan eksport yang pulih.

Media kewangan Bloomberg pula pada 19 April lepas melaporkan ekonomi Malaysia berkembang paling pesat dalam tempoh setahun, menunjukkan pemulihan lebih kukuh sedang berlaku di negara Asia Tenggara itu.

Dalam laporan bertajuk ‘Malaysia’s Growth Accelerates, Signaling Recovery in 2024,’ media itu menyatakan data pertumbuhan menunjukkan ekonomi Malaysia kembali mendapat momentum selepas menyederhana pada tahun lepas susulan permintaan global yang suram.

“Negara yang bergantung kepada perdagangan itu juga dijangka meraih faedahnya jika China -- rakan dagang terbesar Malaysia -- terus membina permulaan kukuh yang di luar jangkaan. Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar berkembang antara empat peratus dan lima peratus pada tahun ini berikutan permintaan luar yang meningkat.”

Marilah kita sama-sama berharap agar momentum ini akan berterusan dan kita dapat mendengar butiran lebih hebat apabila laporan ekonomi tahunan dan Belanjawan 2025 dibentangkan di Dewan Rakyat, kelak.

Kita seharusnya memberi pujian kepada kerajaan apabila ia wajar untuk berbuat demikian.

-- BERNAMA

* Penulis, Datuk Seri Wong Chun Wai, mempunyai pengalaman lebih 40 tahun sebagai wartawan dan merupakan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, BERNAMA.

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan