AM

Bank Muamalat-MAB Perluas Kerjasama, Perkasa Komuniti OKU Penglihatan

28/07/2024 06:45 PM

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) hari ini memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) untuk menjalin kerjasama holistik dalam memperkasakan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Khairul Kamarudin berkata kerjasama jangka masa panjang yang dijalin merupakan inisiatif tanggungjawab sosial bank berkenaan dalam memperkasakan komuniti OKU penglihatan melalui akses kemudahan kewangan, latihan serta produk dan perkhidmatannya.

“Saya berharap menerusi MoC ini, Bank Muamalat dapat membantu komuniti OKU penglihatan dalam menjana pendapatan sendiri serta merapatkan jurang ekonomi dan mampu lebih berdaya saing apabila mereka dilengkapi dengan latihan dan keperluan.

“Melalui kerjasama ini, Bank Muamalat turut menyokong kerangka Layanan Adil terhadap Pengguna Kewangan (FTFC) dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia bertujuan untuk mewujudkan sistem kewangan lebih inklusif yang melindungi kepentingan semua pengguna, terutamanya mereka yang terdedah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menerusi MoC itu, sebanyak 59,413 orang yang berdaftar di bawah MAB dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mendapat manfaat yang bakal ditawarkan.

Selain itu, kerjasama antara kedua-dua entiti ini diperluas melalui inisiatif-inisiatif kewangan sosial antaranya program iTEKAD Bank Muamalat dan projek-projek zakat dan wakaf.

Melalui program iTEKAD Bank Muamalat, warga OKU penglihatan yang layak bakal mendapat akses kepada bantuan modal pembelian aset, latihan berstruktur serta pembiayaan mikro selain usahawan yang layak turut diberikan latihan pemasaran melalui platform dalam talian e-dagang terpilih yang dikhususkan buat OKU penglihatan.

Selain itu, MAB juga memberikan komitmen untuk menyediakan khidmat latihan kepada petugas Bank Muamalat berkaitan langkah untuk membantu golongan OKU penglihatan dalam urusan perbankan, yang akan mendorong komitmen jangka panjang Bank Muamalat dalam menyediakan perkhidmatan perbankan Islam untuk semua.

Ketua Pegawai Eksekutif MAB Datuk George Thomas berkata kerjasama berkenaan adalah selari dengan visi MAB untuk memastikan setiap komuniti OKU penglihatan dapat hidup berdikari melalui hasil pendapatan sendiri.

“Berdasarkan empat kempen Jariah Fund bersama Bank Muamalat yang berjaya sebelum ini, MAB sangat berbesar hati untuk memperluas kerjasama dalam program kewangan sosial Bank Muamalat bagi meningkatkan taraf hidup ahli MAB dan komuniti OKU penglihatan secara menyeluruh,” katanya.

Maklumat lanjut berkaitan Jariah Fund dan iTEKAD Bank Muamalat boleh didapati menerusi laman web www.muamalat.com.my atau kunjungi cawangan Bank Muamalat terdekat.

Pelanggan juga boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank Muamalat menerusi talian 03-2600 5500 untuk maklumat lanjut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan