AM

Feri Ikonik Pulau Pinang Kian Reput, Mungkin Dilupus - Chow

28/07/2024 08:36 PM

BUKIT MERTAJAM, 28 Julai (Bernama) -- Enam feri ikonik Pulau Pinang yang sudah lagi tidak digunakan mungkin dilupuskan jika tiada pihak yang berminat mengambil alih atau mengubah suai kegunaannya, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata ini berikutan struktur feri terbabit yang semakin usang serta mereput dan sudah tidak sesuai digunakan bagi tujuan pengangkutan.

“Saya difahamkan bahagian bawah feri tersebut sudah reput, kalau tak ada orang berminat untuk ambil alih, ia tidak boleh disimpan selamanya,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival UDA 2024@Penang di tapak parkir Gravitas Jalan Baru Prai di sini hari ini.

Chow berkata sebelum ini, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) telah membuka tender Permintaan Untuk Cadangan bagi mengubah suai kegunaan feri ikonik itu namun jika tiada pihak yang berminat maka ia mungkin hilang dan diubah ke tempat lain.

Beliau berkata ketika ini, terdapat dua feri ikonik yang mungkin masih boleh diselamatkan iaitu yang berada dengan syarikat pemaju Ideal Property manakala satu lagi akan dijadikan muzium feri, berpangkalan di Tanjung Marina di sini.

“SPPP banyak menerima cadangan agar ia kekal digunakan tetapi setelah meneliti kos, bukan senang untuk mengekalkan feri  bagi kegunaan perkhidmatan pengangkutan awam tetapi kalau kegunaan lain boleh dipertimbang.

“Tambahan pula terminal telah diubah suai untuk kegunaan perkhidmatan feri baharu yang sedang beroperasi," katanya.

Pengerusi SPPP Datuk Yeoh Soon Hin sebelum ini memaklumkan pihaknya memutuskan untuk melupuskan feri ikonik terbabit dengan kadar segera kerana kerja-kerja pembaikan tidak dapat dilaksana susulan pereputan yang serius dan tidak boleh diapungkan.

Ia juga berikutan insiden pada Rabu lepas yang menyaksikan Feri Pulau Kapas karam akibat kebocoran dan tidak lagi dapat diperbaiki.

SPPP telah memajak feri ikonik kepada beberapa syarikat yang layak untuk dijadikan produk pelancongan negeri pada 2021 namun hasrat menjadikan Feri Pulau Kapas sebagai restoran terapung gagal direalisasi susulan ketidakpatuhan pemajak terhadap perjanjian dan pajakan ditamatkan pada Februari 2023.

Perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang ditamatkan pada 2020 setelah beroperasi lebih 126 tahun dan digantikan dengan perkhidmatan bot laju untuk membawa penumpang individu serta feri bagi motosikal dan basikal.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan