AM

Tiada Halangan Bangunkan Tanah Untuk Bumiputera Di Pulau Pinang - Chow

28/07/2024 09:25 PM

BUKIT MERTAJAM, 28 Julai (Bernama) -- Kerajaan negeri tidak menghalang hasrat mana-mana pihak untuk membangunkan tanah di Pulau Pinang bagi meningkatkan pegangan hartanah bumiputera.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri malah menyambut baik dan mengalu-alukan idea Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) dan minat UDA Holdings Berhad (UDA) dalam memajukan tanah demi meningkatkan pegangan hartanah bumiputera di negeri ini.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan negeri perlu mendapatkan maklumat terperinci sekiranya pelan yang diusulkan PEMENANG itu mahu dilaksanakan dan UDA selaku peneraju pembangunan hartanah juga boleh memulakan kajian mengenai kesesuaian tanah bagi tujuan tersebut.

“Saya perlu dapat lebih banyak maklumat daripada Presiden PEMENANG Tan Sri Mohd Yussof Latiff yang melontarkan idea bahawa dengan tanah-tanah di presint George Town sekiranya dimajukan boleh membawa 10,000 penduduk Melayu ke pusat bandar (George Town).

"Di sekeliling Jalan Datuk Keramat, Jalan Perak, Jalan Pattani, kawasan orang Melayu yang mana kawasan itu mungkin ada tanah wakaf dan lain-lain untuk pembangunan hartanah bumiputera di kawasan bandar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival UDA 2024@Penang di tapak parkir Gravitas Jalan Baru Prai, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi UDA Holdings Berhad Tan Sri Mohd Annuar Zaini serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA Datuk Mohd Salem Kailany.

Chow berkata projek yang diusahakan UDA untuk bumiputera di Tanjung Tokong, George Town boleh dijadikan sebagai contoh untuk kawasan lain di Pulau Pinang dalam usaha memajukan tanah yang melibatkan kepentingan bumiputera dan Melayu.

Sebelum ini media melaporkan PEMENANG merangka pelan komprehensif lima tahun untuk membolehkan keluarga Melayu daripada pelbagai latar belakang ekonomi dan kemahiran profesional kembali ke pulau tersebut dengan menumpukan sekitar Jalan Pattani, Jalan Perak dan Jalan Sungai Pinang, meliputi kawasan seluas kira-kira 40 hektar.

Sementara itu, Mohd Annuar dalam ucapannya pada karnival itu berkata UDA terpanggil untuk menawarkan peranannya kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri untuk menjadi rakan bagi membantu melaksanakan agenda pemilikan hartanah bumiputera terutamanya di kawasan bandar.

“Kita mengikuti kenyataan PEMENANG yang berhasrat membangunkan penempatan orang-orang Melayu di negeri ini. Persatuan terbabit turut menyeru penyertaan kami untuk membantu merealisasikan usaha ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan