EKONOMI

Alliance Bank Unjur Pertumbuhan Pinjaman 8.0-10 Peratus Bagi TK2025

31/07/2024 04:20 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Alliance Bank Malaysia Bhd (Alliance Bank) mengunjurkan pertumbuhan pinjaman lebih sihat pada 8.0-10 peratus bagi tahun kewangan 2025 (TK2025), didorong oleh segmen perbankan perusahaan kecil dan sederhana, korporat dan pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kellee Kam berkata bank itu menjangkakan pertumbuhan kukuh berdasarkan keadaan ekonomi menggalakkan di negara ini pada separuh pertama 2024.

“Dalam dua suku pertama, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang agak pesat. Malah, kini terdapat peluang daripada pelaburan langsung asing telah diluluskan, peningkatan pelancongan selain kadar pengangguran amat rendah.

“Selain itu wujud permintaan dan pemulihan kukuh dalam sektor pembuatan serta pertanian negara. Kami yakin TK2025 akan terus menyaksikan permintaan baik bagi pertumbuhan pinjaman sektor perbankan," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-42 Alliance Bank di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Kam juga menyifatkan persekitaran perniagaan terus menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapat akses pinjaman, tidak hanya secara langsung melalui bank tetapi juga menerusi pelbagai inisiatif kerajaan.

Terdahulu, Alliance Bank mencatat keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM690.47 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2024 (TK2024) daripada RM677.84 juta pada tahun sebelumnya manakala hasil menokok kepada RM2.02 bilion daripada RM1.91 bilion, sebelum ini.

Selain itu, jumlah pinjaman kasar meningkat 13.6 peratus kepada RM55.7 bilion, didorong oleh prestasi kukuh yang merentasi semua segmen.

Menyentuh prospek, Kam berkata Alliance Bank optimis namun berhati-hati dalam senario ekonomi yang menggalakkan ketika ini.

“Ini berikutan ekosistem luaran selain isu geopolitik yang berpotensi memberi kesan kepada kadar faedah dan pasaran kewangan. Berikutan itu, kami kekal berwaspada dari segi unjuran berkaitan hala tuju pasaran,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, beliau berkata menjelang TK2025, Acceler8 akan terus memacu visi Alliance Bank ke arah menjadi Rakan Perbankan Pilihan dengan membimbing bank itu ke arah sasaran kewangan dan bukan kewangan TK2027 yang lebih tinggi.

Acceler8 yang dilancarkan pada 2003, merupakan pelan hala tuju selama empat tahun bagi memacu pertumbuhan mampan dan meningkatkan penghasilan nilai untuk semua pihak berkepentingan.

“Prestasi kukuh kami merentasi metrik kewangan dan bukan kewangan utama yang menggariskan arah tuju dan momentum positif dipaparkan oleh strategi transformasi Acceler8 kami.

“Dalam usaha menjadi 'The Bank For Life’ (Bank Sepanjang Hayat) untuk pelanggan, kami berusaha untuk terus membawa pembaharuan selain tawaran lebih khusus sepanjang hayat mereka,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan