AM

NGO Kecam Pembunuhan Haniyeh

31/07/2024 08:32 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata pertubuhan itu sesungguhnya amat mengutuk Israel atas pembunuhan ini dan tindakan sedemikian sekali gus menjejaskan prinsip undang-undang antarabangsa serta meningkatkan lagi ketegangan di rantau yang bergolak itu. 

Beliau berkata pembunuhan Haniyeh satu lagi bukti jelas bagaimana Israel sememangnya langsung tidak pernah berhasrat untuk mewujudkan keamanan sebaliknya terus melakukan jenayah keji dengan menindas serta membunuh rakyat Palestin.

Justeru, Ahmad Fahmi menyeru masyarakat antarabangsa mengambil pendirian tegas menentang genosid oleh Israel dan memastikan pihak yang bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan.

“Dalam detik menyedihkan ini, kami menyeru semua untuk berdiri dan bersolidariti menentang genosid dan pendudukan Israel di Palestin. Hanya melalui tindakan global yang bersatu padu, kita boleh menamatkan penderitaan dan merintis laluan kepada keamanan, keadilan dan maruah untuk semua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Haniyeh yang juga bekas Perdana Menteri Palestin terbunuh di Tehran hanya beberapa jam selepas menghadiri majlis pelantikan Presiden Iran Masoud Pezeshkian pada Selasa.

Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan Jismi Johari dalam satu kenyataan berasingan berkata serangan berterusan Israel itu membuktikan rejim Zionis langsung tidak berhasrat mematuhi desakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mengadakan gencatan senjata dan enggan mematuhi undang-undang serta peraturan antarabangsa.

“Serangan keji Israel ini menghapuskan harapan ke arah penyelesaian aman berdasarkan prinsip kemanusiaan dan hak asasi manusia akan berterusan diinjak-injak.

“Kami bersolidariti dan menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap seluruh rakyat Palestin yang kehilangan pemimpin dan semua ahli keluarga mereka,” katanya.

Jismi berkata Ops Ihsan sekali lagi menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan tegas dan mendesak Israel untuk bertanggungjawab atas tindakan kejam ini dan perlu berusaha ke arah membawa keamanan buat rakyat Palestin yang telah dinafikan hak mereka sejak 75 tahun lepas. 

Sementara itu, presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid turut mengecam pembunuhan itu dan menyifatkan ia sebagai perbuatan pengecut Zionis Israel yang mesti dibalas dengan tindakan tegas.

“Kini Israel menghalalkan semua cara termasuk menyerang musuh di negara asing. Israel sedang bermusuhan dengan pelbagai negara. Ia mendedahkan diri kepada tindak balas oleh kumpulan yang tidak boleh menerima keganasan Israel.

“Kami menuntut pemimpin Islam dunia tidak mendiamkan diri. Sudah sampai masanya Israel dihukum dengan hukuman keras terhadap jenayahnya,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Azmi berkata pihaknya berpendirian pembunuhan itu juga tidak akan sama sekali mengurangkan semangat pejuang Hamas, malah mereka yang bersolidariti dengan perjuangan pembebasan Palestin di seluruh dunia mesti meneruskan sokongan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan