AM

Hidroelektrik Nenggiri: Penempatan Baharu Orang Asli Dijangka Siap 2026

01/08/2024 11:40 AM

GUA MUSANG, 1 Ogos (Bernama) -- Pembinaan penempatan baharu kepada hampir 1,200 penduduk Orang Asli yang terlibat dengan pelaksanaan projek Hidroelektrik Nenggiri dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2026.

Ketua Jajahan Gua Musang Nik Raisnan Daud berkata penempatan semula seluas lebih 832 hektar yang terletak berdekatan dengan kawasan asal penduduk Orang Asli terbabit sudah mencapai kemajuan hampir 25 peratus setakat ini.

Beliau berkata penduduk Orang Asli yang dipindahkan ke penempatan baharu terbabit melibatkan 249 Ketua Isi Rumah (KIR) dari Pos Pulat, Pos Tohoi dan Kg. Wias itu akan menerima infrastruktur keperluan asas yang lebih baik serta selesa.

"Kesemua mereka akan dibahagikan kepada dua kawasan iaitu Plot A melibatkan penduduk Orang Asli dari Pos Pulat dan Kg Wias di Bukit Beringin, manakala bagi Plot B, membabitkan penduduk Pos Tohoi di Kuala Yai.

"Selain itu, mereka juga dapat meningkatkan sosioekonomi di kawasan baharu itu dengan kerjasama kerajaan Persekutuan dan negeri seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA)," katanya ketika ditemui Bernama di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, di sini, baru-baru ini.

Penempatan semula itu meliputi tapak rumah seluas 0.2 hektar dan rumah berkeluasan 750 kaki persegi, tapak dusun (0.2 hektar), ladang getah (2.2 hektar) selain kemudahan awam seperti sekolah, tadika, balai rawatan, surau dan lot kedai.

Projek Hidroelektrik Nenggiri yang menelan kos RM5 bilion itu dijangka siap pada pertengahan tahun 2027, akan membentuk Tasik Takungan Utama seluas 53.84 kilometer (km) persegi dan Kolam Pengaturan Aliran seluas 0.97 km persegi.

Projek itu yang telah memasuki fasa pembinaan akan membuka 2,000 peluang pekerjaan kepada masyarakat Orang Asli dan penduduk tempatan dan mampu menjana 300 megawatt (MW) apabila mula beroperasi kelak.

Selain itu, projek berkenaan bakal meningkatkan kapasiti elektrik Tenaga Boleh Baharu (TBB) di Semenanjung Malaysia sekali gus berperanan sebagai penggerak utama peralihan industri tenaga negara dan mengukuhkan usaha memastikan bekalan elektrik yang stabil dan berdaya harap untuk rakyat dan negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan