DUNIA

Angka Kematian Akibat Tanah Runtuh Di India Meningkat Kepada 256

01/08/2024 06:08 PM

NEW DELHI, 1 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Angka kematian akibat tanah runtuh di  Kerala, india meningkat kepada 256 setakat ini, menurut Menteri Kesihatan negeri, Veena George pada Khamis.

Beliau berkata antara fokus utama kerajaan negeri adalah untuk mencegah penyebaran penyakit berjangkit di kawasan berkenaan memandangkan hujan berterusan dan banyak mayat masih tertimbus.

"Setakat ini, kami telah menjalankan bedah siasat ke atas 256 mayat, termasuk bahagian-bahagian badan manusia. Sebanyak 154 mayat diserahkan kepada pentadbiran daerah selepas bedah siasat. 

"Sampel bahagian-bahagian badan yang ditemui sedang dikumpulkan dan ujian DNA ke atas mayat juga sedang dijalankan. 

"Ini akan membantu kami mengenal pasti mayat dan anggota badan pada peringkat seterusnya. 

"Saya telah melawat hospital dan kem-kem bantuan. Keutamaan kami adalah memberikan sokongan psikologi dan fokus pada pengawalan penyakit berjangkit," katanya kepada pemberita.

Menurutnya, seramai 220 orang lagi masih hilang dan kerja-kerja menyelamat sedang dijalankan untuk mengeluarkan mangsa dari bawah runtuhan.

Tiga kejadian tanah runtuh melanda kawasan Meppadi di daerah Wayanad, Kerala, awal pagi Selasa ketika orang ramai masih tidur. 

Insiden ini disifatkan sebagai antara tragedi terburuk dalam sejarah negeri selatan itu.

Kerajaan negeri menubuhkan kem-kem sementara dan kini menempatkan lebih 3,500 orang yang hilang tempat tinggal akibat tragedi itu.

Beribu-ribu anggota Tentera Darat, Tentera Udara, Tentera Laut, Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan, badan pengurusan bencana peringkat negeri, polis tempatan, doktor, pasukan perubatan dan pegawai pentadbiran telah dihantar untuk menjalankan kerja-kerja menyelamat serta memberikan bantuan dan sokongan kepada mangsa yang terselamat. 

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan