AM

Kemudahan asas di Kampung Belukut, Kampung Angkat MADANI akan dinaik taraf

01/08/2024 10:10 PM

LABUAN, 1 Ogos (Bernama) -- Kampung Belukut, Kampung Angkat MADANI pertama di Wilayah Persekutuan menerima peruntukan RM2.5 juta bagi menaik taraf kemudahan asas, sekali gus menjadikan kawasan itu setanding dengan kampung lain di Labuan melalui beberapa projek infrastruktur.

Ketua Kampung Belukut Asmadi Ahmad berkata pihaknya berterima kasih kepada Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan kerajaan kerana menjadikan lokasi itu sebagai Kampung Angkat MADANI pada Mei lepas.

"Projek yang diluluskan untuk Kampung Belukut termasuk menaik taraf balai raya dan gelanggang futsal serta pembinaan dewan terbuka, jalan raya konkrit, papan tanda untuk semua simpang dan kebun komuniti.

"Penambahbaikan ini bertujuan menyediakan penduduk kampung dengan kemudahan dan menggalakkan penglibatan masyarakat. Inisiatif lain melibatkan pembangunan ekonomi digital dan sambungan Internet yang lebih baik ke kampung," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Ismail berkata inisiatif Kampung Angkat MADANI mencerminkan komitmen lebih luas terhadap pembangunan luar bandar untuk mewujudkan masyarakat mampan di seluruh Malaysia.

"Kami menyedari terdapat kekurangan infrastruktur di kampung ini, dan kerajaan melakukan yang terbaik untuk menyediakan kemudahan asas dan projek pembangunan demi kepentingan penduduk kampung," katanya.

Rithuan berkata dengan penambahbaikan ini, Kampung Belukut bersedia menjadi kampung contoh serta dapat menarik pelaburan di kawasan luar bandar.

"Pembangunan berterusan di Kampung Belukut menandakan satu pencapaian penting dalam sejarah kampung ini, menjanjikan masa depan lebih cerah kepada penduduknya dan menjadi contoh kepada kampung lain yang ingin melakukan perubahan sama," katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan