DUNIA

Masa Yang Tepat Untuk Asean Dan Sco Tingkatkan Hubungan

01/08/2024 06:22 PM

Oleh Voon Miaw Ping

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Masanya telah tiba bagi 10 negara-negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) untuk meningkatkan kerjasama mereka dengan Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO).

Penganalisis antarabangsa dan strategik kanan, Dr. Lam Choong Wah dari Universiti Malaya menyuarakan pandangan itu dan menekankan peranan penting ASEAN dan SCO dalam mengekalkan keamanan, keselamatan dan kemakmuran ekonomi serantau.

“Kedua-dua organisasi meliputi wilayah Asia yang luas dan boleh bekerjasama merentasi pelbagai domain atas alasan geografi, politik, ekonomi dan keselamatan.

“Dalam landskap geopolitik kontemporari, saling mempercayai dan memupuk kerjasama antara negara dan kumpulan yang berbeza adalah penting,” katanya kepada Bernama.

Mengenai isu keselamatan, Lam berkata bahawa visi dan objektif Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN selari dengan advokasi SCO.

Oleh itu, mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua organisasi ini akan menyumbang secara signifikan kepada pembinaan kepercayaan dan keamanan di Asia, katanya.

Berdasarkan prospek ini, Lam mencadangkan Malaysia memainkan peranan penting dalam memulakan penglibatan peringkat tinggi dengan SCO, sambil menyatakan bahawa kerjasama semasa antara kedua-dua pihak hanya berlaku di peringkat sekretariat.

"Saya mencadangkan agar Malaysia, yang akan menjadi pengerusi ASEAN tahun depan untuk mempertimbangkan bagi mewujudkan sesi dialog peringkat tinggi antara ASEAN dan SCO, bermula dari pertemuan menteri hingga ke sidang kemuncak kepimpinan menerusi pendekatan berperingkat,” katanya.

Pertubuhan Kerjasama Shanghai ditubuhkan pada 2001, adalah sebuah organisasi antarabangsa antara kerajaan yang bertujuan menggalakkan kerjasama berkesan antara negara-negara anggota dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, keselamatan dan kestabilan serantau, sains dan teknologi, tenaga dan pengangkutan.

Ia kini terdiri daripada 10 anggota iaitu China, Rusia, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Uzbekistan, India, Pakistan, Iran dan Belarus, yang mewakili populasi lebih tiga bilion atau kira-kira 45 peratus daripada penduduk dunia.

Gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023 menyumbang kira-kira 32 peratus daripada jumlah keseluruhan dunia.

Sementara itu, ASEAN yang ditubuhkan secara rasmi pada 1967 kini merupakan antara kawasan yang paling pesat berkembang di dunia.

Dengan populasi hampir 700 juta dan gabungan KDNK sebanyak US$3.8 trilion, ASEAN dijangka menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang 2030.

ASEAN juga memainkan peranan penting dalam membentuk kerjasama keselamatan bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau ini meskipun berdepan cabaran landskap geopolitik global yang sentiasa berubah.

Hubungan formal antara ASEAN dan SCO mula terjalin pada Oktober 2002.

Pada 2005, Sekretariat ASEAN dan SCO menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) untuk melaksanakan kerjasama dalam beberapa bidang, termasuk kerjasama ekonomi dan kewangan, pelancongan, kerjasama tenaga, jenayah rentas negara dan memerangi keganasan.

"Selepas 22 tahun hubungan dan kerjasama antara sekretariat, saya percaya sudah tiba masanya untuk meningkatkan kerjasama dua hala kepada status yang lebih luas dan kukuh.

“Ini boleh melibatkan dialog menteri dan kepimpinan, membolehkan penglibatan yang lebih mendalam,” kata Lam.

Walaupun China, India dan Rusia adalah rakan dialog ASEAN, Kemboja dan Myanmar kini merupakan satu-satunya negara anggota ASEAN yang diberi status rakan dialog dengan SCO.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan