AM

KKM Beri Perhatian Serius Tingkatkan Infrastruktur Kesihatan Di Gua Musang

01/08/2024 07:50 PM

GUA MUSANG, 1 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) memberikan perhatian yang serius untuk meningkatkan infrastruktur dan kemudahan kesihatan di daerah Gua Musang, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dr Dzulkefly berkata beliau sendiri akan melawat beberapa klinik kesihatan di daerah sini hari ini, bagi meneliti dan menilai kemudahan infrastruktur sedia ada.

Beliau berkata bagi program Kesihatan Awam dan Pergigian di bawah projek Klinik Daif (KD) tahun lepas, tiga projek pembaikan dan naik taraf fasiliti kesihatan telah dilaksanakan di tiga Klinik Kesihatan (KK) dan dua Klinik Pergigian (KP).

“Projek berkenaan melibatkan KK Bandar Gua Musang, KK Jeram Tekoh, KK Aring, KP Gua Musang, dan KP Chiku 3 dengan kos keseluruhan RM1.07 juta. 

“Bagi projek KD tahun ini, enam lagi projek pembaikan dan naik taraf fasiliti sedang dilaksanakan iaitu di KK Bertam, KK Jerek, KK Kuala Betis, Klinik Pergigian di KK Jeram Tekoh, KD Renok Baru dan KD Pulai, dengan kos keseluruhan RM2.34 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian kem kesihatan “Kesihatan Minda, Kunci Kesejahteraan Warga Emas” di Dewan Komuniti RKT Kesedar, Jeram Tekoh, di sini, hari ini.

Sementara itu Dr Dzulkefly berkata kerja-kerja menaik taraf, ubah suai dan pembaikan kecil fasiliti kesihatan primer di daerah Gua Musang juga dilaksanakan secara berterusan melalui peruntukan pembangunan saban tahun.

“Bagi Program Perubatan pula, Hospital Gua Musang telah memulakan perkhidmatan kepakaran secara berfasa sejak Mac 2022. Sehingga hari ini, sembilan jenis perkhidmatan kepakaran telah ditawarkan dengan seramai 15 pakar siap sedia berkhidmat kepada pesakit-pesakit di daerah Gua Musang,” katanya.

Beliau berkata terkini, perkhidmatan CT scan telah memulakan operasi di hospital berkenaan sejak 30 Jun yang lepas. 

“...dengan adanya kepakaran dan CT scan ini, rujukan ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai akan semakin berkurangan. Secara ringkasnya, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk menambah baik kualiti perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat setempat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan