DUNIA

Gcc, Asean Komited Kukuh Kerjasama

01/08/2024 09:05 PM

JAKARTA, 1 Ogos (Bernama-SPA) -- Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Jasem Albudaiwi berkata GCC dan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) komited untuk mengukuhkan kerjasama dan penyelarasan bagi mencapai matlamat yang diingini bersama.

Albudaiwi membuat kenyataan itu semasa dalam lawatan ke ibu pejabat ASEAN di Jakarta, yang beliau disambut oleh Setiausaha Agung ASEAN Kao Kim Hourn, lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA). 

Albudaiwi berkata lawatannya adalah sebahagian daripada usaha negara GCC untuk membina hubungan erat dengan negara dan blok serantau dan antarabangsa serta untuk meningkatkan kerjasama antara negara GCC dan ASEAN, berdasarkan kepentingan bersama dan hubungan sejarah yang mendalam.

Kedua-dua pegawai itu menekankan keperluan untuk melaksanakan keputusan yang dicapai oleh GCC dan ASEAN pada Sidang Kemuncak Riyadh, yang diadakan pada 20 Okt tahun lepas dan membincangkan topik kepentingan bersama, mesyuarat akan datang, terutamanya sidang kemuncak kedua antara mereka, yang akan dihoskan oleh Malaysia pada 2025 serta mesyuarat melibatkan pegawai kanan yang akan berlangsung sebelum sidang kemuncak itu.

Turut dibincangkan ialah perkembangan terkini di arena serantau dan antarabangsa, terutamanya krisis di Semenanjung Gaza, dengan kedua-dua pegawai menekankan keperluan untuk mencapai gencatan senjata segera dan menyelesaikan krisis mengikut resolusi antarabangsa yang berkaitan. 

-- BERNAMA-SPA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan