AM

Ribuan Hadiri Solat Jenazah Ghaib Untuk Haniyeh Di Beberapa Negeri

01/08/2024 11:04 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Masjid di seluruh negara hari ini mengadakan solat jenazah ghaib untuk Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh yang terkorban dalam serangan udara oleh rejim Israel di Tehran, Iran semalam.

Selain masjid di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), solat jenazah ghaib turut diadakan di beberapa negeri sebagai tanda solidariti umat Islam di Malaysia terhadap perjuangan umat Islam Palestin dalam menentang kezaliman rejim zionis. 

Di ibu negara, lebih 100 orang menyertai solat jenazah ghaib untuk Allahyarham Haniyeh di Masjid Negara yang diimamkan Imam Kanan Masjid Negara Hassan Alfadhli Abdul Rahman.

Sementara itu di Masjid Putra PUTRAJAYA, lebih 500 jemaah menyertai solat jenazah ghaib yang diadakan sejurus solat maghrib dan diimamkan oleh Imam Besar Masjid Putra Dr Muhamad Zakuwa Rodzali.

Di SELANGOR, Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam turut mengadakan solat jenazah ghaib yang diimamkan oleh Ismail Hashim dan dihadiri kira-kira 50 jemaah terdiri daripada petugas serta pelajar universiti dan orang awam.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Nur Syamira Md Suffri ketika dihubungi memaklumkan semua masjid dan surau di negeri itu akan mengadakan solat jenazah ghaib selepas solat maghrib malam ini.

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pula menerusi hantaran Facebook rasminya memaklumkan solat jenazah ghaib Allahyarham Haniyeh akan dilaksanakan selepas solat Jumaat esok.  

Di PERAK, tinjauan di Masjid Jamek Medan Klebang Restu mendapati kira-kira 500 jemaah menunaikan solat jenazah ghaib yang diimamkan imam masjid itu Khair Ahmad Naufal Mohd Khair.

Terdahulu Pengarah Jabatan Agama Islam Perak Harith Fadzilah Abdul Halim berkata solat jenazah ghaib untuk Haniyeh diadakan di masjid dan surau di seluruh Perak selepas solat maghrib malam ini.

Sementara itu, di PULAU PINANG, semua masjid di seluruh negeri itu mengadakan solat jenazah ghaib selepas solat maghrib hari ini susulan kematian pemimpin Hamas tersebut.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata pihaknya telah meminta lebih 200 masjid di negeri itu untuk mengadakan solat jenazah ghaib sebagai tanda solidariti terhadap Allahyarham Haniyeh.

"Saya bagi pihak kerajaan negeri Pulau Pinang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Haniyeh dan rakyat Palestin di atas kehilangan ini.  Solat jenazah ghaib malam ini sebagai solidariti terhadap kejadian tersebut," katanya yang juga Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang kepada Bernama malam ini.

Tinjauan Bernama di Masjid Tuan Samad di Permatang Sungai Dua, Butterworth mendapati lebih 200 jemaah termasuk Mohamad dan Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Mohd Sukki Othman menyertai solat jenazah ghaib itu.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar meminta semua masjid di bawah seliaan JAKIM dan JAWI mengadakan solat jenazah ghaib untuk Allahyarham Haniyeh.

Agensi Anadolu melaporkan pemimpin Hamas itu terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kediamannya di Tehran. Beliau berada di ibu negeri Iran itu untuk menghadiri majlis pelantikan Presiden Iran yang baharu iaitu Masoud Pezeshkian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan