AM

Sunway Ipoh Mall Bakal Jadi Pusat Beli-belah Terbesar Di Perak

01/08/2024 09:24 PM

IPOH, 1 Ogos (Bernama) -- Sunway Malls, antara pengendali-pemilik pusat beli-belah terbesar di Malaysia hari ini mengadakan majlis pecah tanah pembinaan Sunway Ipoh Mall yang bakal menjadi pusat beli-belah terbesar di Perak apabila ia siap pada 2027.

Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway Tan Sri Dr Jeffrey Cheah berkata pusat beli-belah dengan kos keseluruhan lebih RM1 bilion itu melibatkan lebih sejuta kaki persegi kawasan sewaan bersih (NLA) serta menempatkan antaranya gelanggang luncur ais pertama di Perak, pusat boling dan pusat sukan pelbagai guna.

“Setelah pembangunan Sunway City Ipoh bernilai RM2 bilion, kami memberikan komitmen RM4 bilion lagi dalam dekad akan datang bagi rancangan pengembangan kami, ini termasuk hospital bertaraf dunia, hab pendidikan dan hotel serba baharu serta pusat konvensyen terkini,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Majlis itu disempurnakan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee.

Sunway City Ipoh merentasi 546 hektar adalah perbandaran bersepadu terbesar di Perak yang meliputi  taman tema, pusat penjagaan kesihatan, pendidikan, kediaman dan komersial.

Menurut Cheah, Sunway Medical Centre Ipoh yang dilengkapi lebih 200 katil berada di dalam landasan untuk dibuka dan beroperasi sepenuhnya menjelang awal 2025 bagi menampung populasi Ipoh yang semakin bertambah.

“Ia juga akan meningkatkan daya tarikan Sunway City Ipoh sebagai hab pelancongan perubatan di wilayah utara Malaysia. Pembangunan ini secara kolektif dijangka menambah ribuan pekerjaan baharu dan menjana kesan ekonomi dan sosial yang ketara untuk negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Cheah berkata Sunway dan kerajaan negeri Perak menjalinkan perkongsian awam-swasta sejak 2000-an untuk merangsang ekonomi bandar Ipoh.

“Sunway dan kerajaan negeri melabur hampir RM12 juta untuk membina persimpangan pada 2007 yang menghubungkan Lebuhraya Utara-Selatan ke Jalan Tambun dengan lancar dan dua tahun lalu, kami bekerjasama lagi dengan melabur lebih RM16 juta untuk mengembang dan menaik taraf Jalan Tambun bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas yang masuk ke bandar,” katanya.

Menurut Cheah, Lembaga Lebuhraya Malaysia menganggarkan trafik harian di Lebuhraya Utara-Selatan boleh mencecah hingga empat juta kenderaan terutama pada waktu puncak dan cuti perayaan.

Sementara itu, Saarani dalam ucapan perasmiannya berkata Kumpulan Sunway ialah rakan kongsi yang berdedikasi dalam pembangunan Perak sejak tiga dekad lepas.

Beliau berkata Sunway City Ipoh menjadi contoh cemerlang bagaimana kerjasama awam-swasta boleh mengubah sebuah kawasan menjadi bandar moden yang sofistikated, sekali gus menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi tempatan.

“Pembinaan Sunway Ipoh Mall ini umpamanya akan melengkapkan lagi pembangunan bandar bersepadu Sunway City Ipoh, menjadikannya destinasi yang lebih menarik untuk penduduk tempatan dan pelancong. 

“Dengan kemudahan tambahan yang sedang dibangunkan seperti Sunway Medical Centre Ipoh, Sunway City Ipoh akan terus berkembang untuk memenuhi keperluan gaya hidup moden masyarakat,” katanya.

Saarani berkata pelaburan baharu Sunway berjumlah RM4 bilion itu amat signifikan dalam mengubah landskap Perak kerana bukan sahaja akan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan, tetapi juga menjana pelbagai peluang perniagaan baharu. 

“Ini selaras dengan matlamat kita untuk memacu pertumbuhan ekonomi negeri dan meningkatkan taraf hidup rakyat. Projek-projek berskala besar seperti ini turut meningkatkan kemudahan infrastruktur dan jaringan perhubungan di Perak,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan