SUKAN

601 Atlet Johor Perlu Ketepi Tekanan, Fokus Ulangi Kejayaan SUKMA

02/08/2024 12:16 AM

Oleh Shaidathul Suhana Ros

ISKANDAR PUTERI, 1 Ogos (Bernama) -- Meskipun menggalas cabaran selaku juara edisi lalu, 601 atlet Johor yang bakal menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 Sarawak diminta mengetepikan tekanan dan fokus dalam usaha mengulangi kejayaan itu.

Ketua Kontinjen SUKMA 2024 Johor Datuk Pandak Ahmad berkata jangkaan peminat sukan khususnya rakyat Johor pasti tinggi kepada kontinjen itu yang muncul juara keseluruhan SUKMA ke-20.

Pada SUKMA Kuala Lumpur itu, Johor memahat sejarah apabila muncul juara keseluruhan buat kali pertama dalam temasya sukan yang diperkenalkan sejak 1986 selepas meraih 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa, sekali gus berjaya melepasi sasaran 40 emas yang ditetapkan.

“Johor ini istimewa dalam semua aspek dari segi pembangunan ekonomi begitu juga sukan. Johor mesti jadi nombor satu dan kita tidak mahu hanya sekadar bergelar jaguh kampung. Apa jua bidang termasuk sukan, atlet negeri lain melihat Johor selaku saingan yang harus ditewaskan. 

“Ambil sahaja contoh bola sepak dan bagaimana pihak lawan melihat Johor Darul Ta'zim (JDT), jadi semangat sama perlu diterapkan dalam jiwa atlet sukan-sukan lain yang membawa nama Johor. Atlet perlu ingat mereka bukan hanya membawa nama masing-masing, tetapi nama dan imej Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama ketika meninjau persiapan kelengkapan atlet dan pegawai kontinjen Johor di Velodrome Iskandar Puteri di sini.

Pandak yang juga Presiden Persatuan Memanah Negeri Johor berkata jangkaan ramai itu perlu diurus dengan sebaik mungkin bagi mengelak tekanan dan rasa gugup ketika beraksi.

“Jangkaan orang ramai itu baik tetapi jangan rasa terlalu yakin atau terlalu rendah diri apabila orang hormati kita. Jangan sampai timbul rasa cemas sehingga menjejaskan pemikiran dan prestasi semasa pertandingan.

“Semua atlet perlu guna situasi itu untuk kelebihan mereka,” katanya sambil menambah kontinjen Johor turut diwakili 188 pegawai.

Menurut Pandak, SUKMA merupakan platform terbaik Johor mencungkil bakat atlet dalam pelbagai acara sukan untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa kerana negeri itu telah melahirkan beberapa atlet yang mewakili negara dalam Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

Antara atlet kelahiran bumi Jauhar yang menyinar di pentas sukan antarabangsa dalam acara olahraga ialah Nordin Mohamed Jadi yang berasal dari Muar dan Umar Osman (Johor Bahru); atlet berbasikal Muhammad Shah Firdaus Shahrom (Muar); atlet menembak Nurul Syasya Nadiah Mohd Amin (Batu Pahat); atlet renang Tan Ruoxin (Johor Bahru) serta atlet angkat berat Mohammad Aniq Kasdan (Segamat).

Sementara itu, Pandak berkata Johor kekal dengan misi mencapai kedudukan tiga teratas dalam merebut 488 emas yang dipertandingkan, walaupun acara kanu yang merupakan lubuk emas negeri itu tiada dalam SUKMA kali ini.

“Majlis Sukan Negeri Johor telah melipatgandakan usaha dalam mengenal pasti acara-acara sukan lain yang boleh menambahkan pingat emas buat kontinjen negeri ini. Acara apa biarlah rahsia, tunggu dan lihat semasa temasya itu berlangsung,” katanya.

SUKMA 2024 berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos ini melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan