AM

Filem Pendek Perjuangan Datuk Maharaja Lela Semarakkan Semangat Patriotik Rakyat

02/08/2024 11:47 AM

Oleh Nurafiradina Arshad

IPOH, 2 Ogos (Bernama) -- Enggan ketinggalan dalam menyemarakkan semangat patriotik sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) tahun ini, penggiat seni Faindra Jabbar mengabadikan kepahlawanan dan ketokohan Datuk Maharaja Lela menentang British di Tanah Melayu menerusi penerbitan filem pendeknya.

Pensyarah intitusi pengajian tinggi swasta itu berkata filem pendek perjuangan wira tempatan menentang penjajah Inggeris pada abad ke-18 tersebut mampu membawa impak positif kepada masyarakat dan sebagai ‘buah tangan’ daripadanya sempena hari bersejarah negara.

”Pemilihan tokoh Datuk Maharaja Lela dalam pembikinan filem pendek ini adalah kerana beliau merupakan susuk yang begitu signifikan dalam perjuangan menentang British di Perak dan sudah pasti ramai mengenali beliau kerana kisah beliau tercatat dalam buku pendidikan sejarah.

“Jadi masyarakat memang tahu peristiwa bersejarah yang berlaku dan perkara itu memudahkan lagi pihak kami untuk memaparkan adegan-adegan perjuangan beliau dan beberapa orang lagi dalam menentang British,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata anak muda sekarang hanya membaca sejarah Datuk Maharaja Lela menerusi buku atau Internet, namun dengan adanya filem pendek itu yang dijangka ditayangkan September ini, mampu memberikan gambaran lebih jelas mengenai suasana Tanah Melayu ketika itu.

“Pihak kami cuba mencari beberapa tempat di sekitar Perak ini untuk dijadikan sebagai lokasi penggambaran seperti peristiwa J.W.W Birch yang dibunuh oleh Seputum berhampiran sungai, perkampungan orang Melayu, kami juga gambarkan penindasan pemerintahan British ke atas orang Melayu pada ketika itu. 

”Tambahan lagi kebanyakan lokasi bersejarah berlakunya peristiwa penting di Pasir Salak itu dijaga dan merupakan kawasan larangan, jadi ia agak sukar untuk kami gunakan sebagai tempat sebenar penggambaran,” katanya.

Menurut Faindra, bagi menghidupkan lagi kisah perjuangan Datuk Maharaja Lela, beliau dan pasukan produksi telah menjalankan kajian selama empat bulan untuk menghasilkan skrip dan sinematografi yang menarik iaitu melalui buku sejarah, pertemuan bersama ahli sejarah, lawatan ke muzium Pasir Salak serta berjumpa orang-orang lama.

”Bukan mudah untuk menghasilkan sebuah skrip yang berbentuk sejarah dan fakta kerana kami perlu mencari titik persamaan antara sejarah dan cerita orang lama supaya peristiwa yang dilakonkan itu nanti tidak lari daripada sejarah kerana sehingga kini terlampau banyak versi penceritaan.

”…sebab ada yang mengatakan J.W.W Birch dibunuh oleh Datuk Maharaja Lela…ada kata Seputum jadi perkara-perkara sebegini memerlukan penelitian supaya nanti karya yang dihasilkan tidak lari daripada matlamat utama iaitu ingin mengangkat Datuk Maharaja Lela sebagai pejuang menentang penjajah,” katanya.

Faindra berkata oleh kerana filem berkenaan hanya berdurasi kira-kira 30 minit, pihaknya terpaksa memilih peristiwa penting sahaja untuk dimasukkan namun tetap menyelitkan beberapa persoalan dan sejarah penting seperti peristiwa Perjanjian Pangkor yang merupakan titik tolak kepada pembunuhan wakil residen British itu.

“Saya percaya dengan adanya filem-filem yang menonjolkan tokoh-tokoh terdahulu seperti Datuk Maharaja Lela, Mat Kilau dan lain-lain lagi, mampu mewujudkan rasa kecintaan kepada tanah air kita khususnya kepada generasi kini dan akan datang.

“Mungkin dengan kejayaan filem Mat Kilau sebelum ini boleh menjadi contoh kepada kerajaan untuk mengetengahkan mana-mana tokoh yang memperjuangkan tanah air atau kemerdekaan negara dijadikan sebagai ikon setiap kali Sambutan Hari Kebangsaan,” katanya yang juga pemilik studio seni 'Sarang Port and Studio' di sini.

Sementara itu, Pengarah Fotografi Shabar Shah berkata projek itu dihasilkan menerusi suntikan dana permulaan daripada Dana Kreatif Perak@Port iaitu satu bentuk sokongan kewangan kepada penggiat seni dan usahawan kreatif tempatan untuk menjalankan projek berpaksikan budaya dan warisan serta kandungan tempatan di negeri tersebut.

“Saya harap filem pendek ini akan membuka legasi baharu kepada pembikin filem bebas di sekitar Ipoh untuk terus menghasilkan sesuatu yang lebih mencabar dan salah satu idea penubuhan Sarang Port dan Studio adalah untuk menjadi hab seni kepada pengkarya-pengkarya di sekitar Ipoh, tidak kira pembikin filem, muzik atau yang berkaitan dengannya.

”Filem pendek ini dijadualkan akan ditayangkan di beberapa majlis tertutup di sekitar Ipoh mulai bulan September 2024. Lokasi dan jadual tayangan akan diumumkan dari masa ke masa melalui akaun Instagram @sarangport.official atau di akaun facebook Sarang Port and Studio,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan