AM

LKIM Saran Anak Nelayan Kuasai Kemahiran Jadi Tekong, Persediaan Guna Bot Besar

02/08/2024 04:08 PM

KUALA PERLIS, 2 Ogos (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyarankan anak-anak nelayan di negara ini menguasai kemahiran menjadi tekong sebagai persediaan mengendalikan bot besar bagi menangkap ikan di laut dalam zon B atau C untuk pendapatan lebih lumayan.

Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata terdapat pusat latihan untuk melatih anak-anak nelayan itu menjadi tekong berkemahiran yang dikendalikan Jabatan Perikanan iaitu di Lumut, Perak dan Chendering, Terengganu. 

"Cuma masalah kita adalah anak nelayan kurang minat ataupun kurang pendedahan, jadi kita mahu Persatuan Nelayan menggalakkan anak nelayan untuk mendapatkan dahulu kemahiran pendedahan ilmu tekong, kita tak mahu selamanya Malaysia walaupun ada bot besar, tetapi bergantung kepada tekong luar,” katanya.

Muhammad Faiz berkata demikian kepada pemberita selepas Program RAHMAH Mesra MADANI bersama nelayan negeri Perlis di Dataran Semarak, Kampung Seberang Ramai di sini hari ini.

Beliau berkata jika semakin ramai anak nelayan mahir menjadi tekong dan mampu mengubah cara penangkapan ikan menggunakan bot besar, ia dapat mewujudkan banyak bot besar dikendalikan rakyat tempatan sekali gus menangani isu pencerobohan bot besar warga asing di kawasan laut negara ini.

"Antara punca menjadi pencerobohan di laut dalam ini (dipercayai) kurangnya vesel (bot besar) tempatan menyebabkan kawasan laut kosong, (sekali gus) buka ruang kepada (warga asing) ceroboh masuk.

"Tidak dinafikan modal awal tinggi untuk membeli bot besar (berharga) RM2 juta ke atas, tetapi kita ada Agro Bank untuk bantu dari segi bantuan pinjaman modal dan sebagainya,” katanya. 

Sementara itu, beliau berkata nelayan disarankan terlibat dalam bidang perniagaan hiliran untuk meningkatkan taraf ekonomi selain menumpukan kepada aktiviti tangkapan ikan sahaja kerana LKIM mempunyai 137 pasar nelayan dan 10 kedai runcit di seluruh negara setakat ini untuk mereka memasarkan dan menjual produk. 

"Masalah membelenggu nelayan ini kadang-kadang mereka hanya jadi nelayan atau menguasai tangkapan ikan, tetapi mereka tidak memproses hasil (ikan) itu untuk menambah pendapatan, sebab kalau mereka menguasai bidang hiliran sama ada pemasaran ikan atau proses ikan menjadi ikan kering atau pun produk lain, mereka akan dapat pendapatan lebih,” katanya. 

Dalam pada itu, Muhammad Faiz berkata sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk membaik pulih Kompleks LKIM Kuala Perlis yang kelihatan usang dan terdapat banyak kerosakan yang kini dalam proses untuk tender bagi projek baik pulih berkenaan.

Pada program itu, turut berlangsung pemberian bantuan lima enjin sangkut dan lima tong ikan berinsulasi kepada lima nelayan dengan kos keseluruhan bernilai RM60,000 manakala 100 penerima lagi menerima pukat, tong ikan dan kotak makanan berjumlah RM57,500 serta penyerahan 'cek contoh' masing-masing RM11,000 kepada dua penerima bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan