AM

YaPEIM Agih Bantuan RM49,500 Menerusi Program Ziarah Madani Di Perak

03/08/2024 09:06 PM

IPOH, 3 Ogos (Bernama) -- Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) mengagihkan bantuan berjumlah RM49,500 menerusi Program Ziarah MADANI YaPEIM Negeri Perak pada satu majlis yang diadakan di Kuala Kangsar hari ini.

Seksyen Komunikasi Korporat YaPEIM dalam satu kenyataan memaklumkan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus menyempurnakan agihan bantuan itu mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Menurut kenyataan itu agihan terdiri daripada wang tunai RM200 kepada 30 keluarga B40, pesakit kronik dan anak yatim berjumlah RM6,000 serta set bantuan makanan RM100 kepada 100 keluarga berjumlah RM10,000.

"Selain itu, peralatan dan prasarana berjumlah RM5,500 turut diagih kepada Masjid Ridzwaniah, Kuala Kangsar serta bantuan kewangan pendidikan RM50 seorang kepada 100 pelajar daripada lima sekolah membabitkan peruntukan berjumlah RM5,000.

"YaPEIM turut menyumbang RM21,500 bagi penganjuran jamuan rakyat, penganjuran program Sinar Sihat melalui pemeriksaan kesihatan berjumlah RM1,000 dan penganjuran program Celik Kendiri kepada 100 pelajar sebanyak RM500," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan YaPEIM telah mengagihkan peruntukan sebanyak RM700 juta kepada 10 juta penerima manfaat di seluruh negara sejak 1985.

Peruntukan itu membabitkan tiga teras program iaitu Pembangunan Ekonomi Islam, Pendidikan dan Pembangunan Sosial merangkumi agihan Program Foodbank YaPEIM, Sinar Kasih, Inspirasi Prihatin YaPEIM, Program Sinar Lestari YaPEIM, Inspirasi Pendidikan YaPEIM dan Pembangunan Usahawan.

Sementara itu, Mohd Na'im dalam teks ucapan yang dibacakan Mohd Radzif berkata bantuan dan program kemasyarakatan YaPEIM diharap memberi manfaat dan nilai tambah dalam kehidupan penerima manfaat. 

Mohd Na'im berkata program Celik Kendiri akan memberi motivasi pendidikan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah bagi memupuk jati diri dan sahsiah ke arah yang lebih positif. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan