SUKAN

Mickey Pegang Kata-Kata Pan Gon Untuk Bangkit Beraksi Semula

05/08/2024 07:01 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Walaupun tidak lagi bekerjasama dalam skuad Harimau Malaya, pemain sayap Mohamad Faisal Abdul Halim akan tetap memegang kata-kata bekas pengendali, Kim Pan Gon dalam perjalanannya untuk kembali beraksi selepas insiden disimbah asid, awal Mei lepas.

Mohamad Faisal atau lebih dikenali sebagai Faisal Halim berkata Pan Gon percaya beliau akan menjadi seorang pemain yang lebih baik sekiranya berjaya bangkit daripada pengalaman perit itu.

Pemain Selangor FC itu berkata Pan Gon memaklumkan perkara itu dalam mesej kepada beliau, pada hari-hari terakhir jurulatih dari Korea Selatan itu sebagai pengendali pasukan bola sepak kebangsaan.

“Saya dapat tahu dia (Pan Gon) nak tinggalkan Malaysia, saya pun mesej dia...saya ulang balik apa dia cakap pada saya sebelum ini (untuk tunggu Faisal kembali beraksi), dia cakap, kita tak tahu ke depan apa yang berlaku, kita cuba buat yang terbaik, awak akan jadi lebih terbaik di masa depan kalau awak bangkit,”.

“Saya pegang kata-kata itu, saya cuba untuk bangkit dan jadi seorang pemain yang luar biasa, saya nak buktikan dengan Malaysia yang saya tak boleh dijatuhkan dengan apa-apa dan doa rakyat Malaysia di belakang saya,” katanya dalam video temu bual khas bersama Faisal Halim oleh Selangor FC.

Pan Gon sebelum ini membuat kejutan apabila mengambil keputusan untuk meletakkan jawatannya kerana komitmen peribadi pada pertengahan Julai lepas. 

Sabtu lepas, Faisal yang lebih mesra disapa Mickey menceriakan peminat Gergasi Merah selepas dilihat membuat kemunculan pada sesi pemanas badan pasukan menjelang aksi separuh akhir kedua Piala FA 2024/2025 menentang Terengganu FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Beliau turut mengisi senarai pemain di bangku simpanan namun tidak diturunkan dalam perlawanan yang menyaksikan Selangor menang 4-1 untuk mara ke final dengan keputusan agregat 6-4.

Sementara itu, bercakap mengenai motivasinya untuk kembali bangkit, pemain berusia 26 tahun itu berkata selain sokongan berterusan daripada ahli keluarga terdekat, semangat yang diberikan seluruh keluarga bola sepak Selangor memberinya motivasi berharga untuk kembali bermain.

“Keadaan saya sekarang mungkin tak normal, mungkin cacat, tapi saya rasa saya mampu buktikan lagi dan saya nak beraksi lagi untuk bola sepak negeri Selangor ataupun kebangsaan bergantung keadaan macam mana nanti.

“Apa yang saya boleh katakan semangat daripada rakan-rakan sepasukan, rakyat Malaysia dan keluarga Merah Kuning amat saya terharu, kerana anda saya teruskan berjuang untuk bermain bola,” kata pemenang  anugerah gol terbaik pada Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lepas.

Pada 5 Mei lepas, bekas pemain Terengganu itu menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya sekali gus mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa anggota badan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan