AM

Pelarasan Gaji: PM Anwar Mahu Penjawat Awam Beri Perkhidmatan Lebih Baik Kepada Rakyat

06/08/2024 12:40 PM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mahu semua penjawat awam memberikan perkhidmatan yang jauh lebih baik kepada rakyat selari dengan pelarasan gaji yang akan diumumkan kerajaan.

Beliau berkata ada dua sebab mengapa pelarasan itu melibatkan kenaikan gaji paling tinggi dalam sejarah negara sejak merdeka.

“Pertama (kerana) negara (terus) membangun - tapi selama 12 tahun tak ada kajian menyeluruh kenaikan gaji, dan kedua mengiktiraf peranan mereka (penjawat awam),” katanya semasa berucap di Majlis Peluncuran Perumahan Penjawat Awam Malaysia MADANI di Bandar Sri Permaisuri di sini hari ini.

“Walaupun ada suara bangkang yang tak pernah kenal erti syukur dan tak pernah nak terima kenyataan, tapi percayalah apabila saya umumkan nanti, sebahagiannya bulan Ogos dan lengkapnya seperti mana yang saya janjikan pada bulan Oktober (iaitu pada) Belanjawan Negara, (pelarasan) dilaksanakan mulai 1 Disember,” tambahnya.

Majlis peluncuran itu turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mekanisme pelarasan gaji penjawat awam akan diumumkan Anwar semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 pada 16 Ogos ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Perdana Menteri berkata penjawat awam juga perlu bersama-sama dengan kerajaan dalam membangunkan negara.

“Dalam negara MADANI ini kita kena pastikan ekonomi mampan dan Alhamdulillah seperti mana yang dilaporkan, kekuatan ringgit yang menjadi masalah kepada kita itu, kembali dengan meyakinkan. Prestasi (pergerakan) ringgit hari ini terbaik ketimbang 14 tahun lepas.

“Asasnya apa? Negara tentunya kerana politik yang stabil, dasarnya jelas, penjawat awam berdedikasi, pegawai sektor swasta... ini semua mempunyai peranan untuk menjayakannya,” katanya.

Pada 2 Ogos, ringgit berada pada 4.49 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada penutupan.

Ia meningkat 1.6 peratus berbanding dolar US selepas mencatatkan kenaikan selama 10 hari berturut-turut, prestasi terbaik dicatatkan sejak 2010.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan