AM

Program Gotong-royong Kampung Angkat Madani KKDW di Bagan Datuk

06/08/2024 09:31 PM

BAGAN DATUK, 6 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menganjurkan Program Gotong Royong Keceriaan Kampung, Kampung Angkat MADANI (KAM) 2024 di Kampung Sungai Betul di sini, bermula hari ini hingga esok.

Setiausaha Bahagian Komuniti Desa KKDW Che Mohd Zulkifli Ismail berkata program itu merupakan kolaborasi KKDW bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Betul, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak Kampus Tapah dan Seri Iskandar.

Beliau berkata seramai 278 orang terdiri daripada pelajar, pensyarah dan kakitangan dari tiga institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bersama wakil agensi kerajaan, telah berkumpul bagi membersih dan menceriakan kawasan kampung itu.

“Seramai 97 pelajar daripada jumlah keseluruhan itu turut terlibat dalam Program Anak Angkat KAM @ KKDW untuk bersama keluarga angkat mereka.

“Selain daripada melaksanakan aktiviti membersih kawasan kampung seperti masjid, sekolah agama rakyat, rumah warga emas yang uzur serta pantai di Beting Beras Basah, turut diadakan aktiviti menceriakan hentian bas, pemasangan tanda pengenalan kampung serta lukisan mural identiti kampung,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan program itu di sini hari ini.

Kampung Sungai Betul telah dipilih sebagai KAM oleh KKDW dengan peruntukan RM2.5 juta, bagi memastikan keperluan infrastruktur dan prasarana asas kampung itu dapat ditingkatkan menjelang akhir tahun ini.

Che Mohd Zulkifli berharap menerusi penyertaan dalam program sedemikian, dapat menggalakkan dan memupuk pembudayaan semangat kesukarelawanan dalam diri pelajar, selain dijadikan sebagai asas ikatan jalinan perhubungan generasi muda yang bakal menerajui kepimpinan negara pada masa hadapan, dengan penduduk setempat.

“Pengalaman baharu yang diperolehi diharapkan mampu membentuk individu yang cintakan negara, prihatin, bertolak ansur dan bekerjasama dalam memastikan keharmonian negara,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta dari UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah Muhammad Mutta'al Sidek, 20, berkata penganjuran program itu dapat menjadikan pelajar IPTA supaya lebih bertanggungjawab dan bersama-sama terlibat dalam kegiatan komuniti, selain memberi pengalaman baharu. 

“Saya yang pertama kali menyertai program seumpama ini, amat teruja dan ia mampu memberi pendedahan kepada kami tentang cara kehidupan masyarakat di sini, pada masa sama kami dapat menyumbang sesuatu kepada mereka,” katanya.

Seorang lagi pelajar Ng Zhen Fan Shankar, 25, dari UPSI berkata penganjuran program itu selaras hasrat Kerajaan MADANI untuk memartabatkan semangat perpaduan dan keharmonian antara masyarakat, khususnya dalam kalangan anak muda.

Ng berkata program itu juga memberi pendedahan kepada para peserta mengenai sejarah, budaya dan keunikan negeri ini, selain mendidik pelajar tentang kepentingan dalam menerapkan tradisi dan warisan khususnya di Bagan Datuk.

“Saya percaya program ini memberi impak kepada masyarakat yang mereka dapat mengetahui lebih mendalam mengenai warisan dan tradisi masyarakat di sini,” katanya.

Pengerusi JPKK Kampung Sungai Betul Mad Sahril Ahmad berkata pihaknya menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada KKDW, kerana memilih kampung itu sebagai KAM. 

“Kehadiran pelajar daripada UiTM dan UPSI sebagai anak angkat sangat dialukan penduduk Kampung Sungai Betul, selain telah memberikan sumbang bakti mereka kepada kampung ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan