AM

SA Sentral: Pusat Beli-belah SACC Diroboh, Diganti Pusat Pameran Bertaraf Dunia

08/08/2024 05:01 PM

SHAH ALAM, 8 Ogos (Bernama) -- Pusat beli-belah SACC (Shah Alam City Centre) akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan pusat pameran bertaraf dunia, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Datuk Mahmud Abbas.

Beliau berkata kerja-kerja pembangunan semula di tapak pusat beli-belah di Seksyen 14 yang dijangka bermula pada akhir 2026 itu merupakan sebahagian daripada perancangan peremajaan bandaraya Shah Alam menerusi pembangunan Projek SA Sentral.

"Pembangunan SA Sentral yang dianggarkan menelan kos RM2 bilion akan melibatkan beberapa plot kawasan Seksyen 14 bermula daripada Ibu Pejabat PKNS, Plaza Alam Sentral, Plaza Perangsang, SACC Mall, SACC Convention Centre dan Kompleks PKNS.

"Projek SA Sentral ini cuma melibatkan perobohan bangunan SACC Mall dan kita akan guna tanah dan tapak parkir di depannya untuk membina sebuah pusat pameran bertaraf antarabangsa yang bersambung terus dengan SACC Convention Centre," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas forum PKNS The Future-Proofing Selangor’s Real Estate Opportunities sempena 60 tahun penubuhan agensi itu di sini hari ini.

Mahmud berkata peniaga di pusat beli-belah itu yang dianggarkan seramai 200 orang telah dimaklumkan mengenai perobohan dan perancangan pembangunan SA Sentral dengan mereka yang terlibat akan dipindahkan ke ruang perniagaan di Plaza Alam Sentral dan Plaza Perangsang.

Beliau berkata langkah itu juga mengambil kira aktiviti perniagaan di pusat beli-belah itu yang tidak begitu memberangsangkan selepas pandemik COVID-19 apabila masyarakat atau pembeli lebih menjurus kepada melakukan pembelian secara dalam talian.

Kebanyakan produk atau barangan dijual di pusat beli-belah itu juga lebih kurang sama dengan apa ditawarkan di Kompleks PKNS yang turut memberi kesan kepada jualan para peniaga di situ, tambah beliau.

Mahmud berkata perobohan pusat beli belah SACC Mall juga tidak melibatkan pembayaran pampasan oleh PKNS kepada peniaga.

"Namun sebagai pemaju, PKNS akan melihat kepada kebajikan para peniaga itu dan akan pastikan mereka memiliki perniagaan di dalam kawasan pembangunan SA Sentral kelak," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan