AM

PKNS Fokus Perniagaan Hartanah Bernilai Tinggi, Sumbang Kembali Dalam Bentuk CSR - CEO

08/08/2024 05:31 PM

SHAH ALAM, 8 Ogos (Bernama) -- Transformasi dinamik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) meneroka pembangunan hartanah bernilai tinggi dan komersial membolehkan agensi itu terus menyumbang kembali kepada kerajaan negeri, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Datuk Mahmud Abbas.

Beliau berkata langkah itu membolehkan PKNS menyumbang sebanyak RM63 juta setahun dalam bentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada kerajaan negeri, sekali gus memacu aspirasi negeri mengimbang pembangunan dan merancakkan ekonomi Selangor.

“PKNS masih meneruskan pembinaan rumah mampu milik, namun pada masa yang sama, kita perlu mengembangkan bentuk perniagaan yang dapat membawa lebih banyak keuntungan. Berbanding dahulu, PKNS kini perlu membayar premium tanah seperti pemaju swasta yang lain.

“… dan kena ingat, CSR PKNS setiap tahun ialah RM63 juta. Kalau kita hanya menjual rumah pada harga RM300,000 seunit, dan dengan margin keuntungan sekitar RM15,000, bagaimana dengan keuntungan ini kita mampu membuat CSR ini?," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas forum "PKNS The Future-Proofing Selangor’s Real Estate Opportunities" sempena 60 tahun penubuhan agensi itu yang dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari di sini, hari ini.

Mahmud berkata PKNS, yang pernah menjadi pemaju tunggal dalam membangunkan sektor hartanah di Selangor pada awal penubuhannya, kini berdepan cabaran apabila syarikat-syarikat yang dahulu merupakan kontraktor kepada projek-projek kendalian agensi tersebut kini turut terlibat dalam industri hartanah di negeri itu.

Beliau berkata untuk itu, PKNS perlu menjadi lebih komersial pada masa hadapan dengan melebarkan sayap dalam beberapa sektor berbeza termasuk tenaga boleh diperbaharui, pengurusan sisa, penjagaan kesihatan, hospitaliti dan teknologi selain membangunkan hartanah bernilai tinggi.

Mahmud turut menjelaskan bahawa transformasi dalam perniagaan itu tidak bermakna PKNS telah menyimpang dari agenda penubuhannya, iaitu untuk membina rumah kos rendah untuk rakyat.

"Dalam enakmen PKNS, tiada klausa yang menyatakan penubuhan PKNS ialah membina rumah kos rendah sebaliknya enakmen tersebut mengatakan PKNS membangunkan sosial ekonomi negeri dengan membina bangunan-bangunan industri dan sebagainya," katanya.

Berhubung forum tersebut, Mahmud berkata penglibatan lebih 300 peserta, termasuk agensi kerajaan, pemimpin industri, pelabur, dan perunding hartanah, akan membolehkan PKNS menambah rakan strategik serta membuka peluang untuk meneroka bidang perniagaan baharu pada masa hadapan.

“Selepas 60 tahun, kami tidak boleh hanya mengimbau sejarah. Sebaliknya, kami perlu mengorak langkah ke hadapan dan mengenal pasti jenis projek serta perniagaan yang berpotensi untuk diceburi," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan