AM

Kerajaan Belanja RM10.49 Bilion Untuk Infrastruktur Luar Bandar Sejak 2020 - Ahmad Zahid

08/08/2024 01:05 PM

PUTRAJAYA, 8 Ogos (Bernama) -- Kerajaan telah melabur sebanyak RM10.49 bilion untuk membangunkan infrastruktur luar bandar, termasuk jalan raya, bekalan elektrik, air, dan kemudahan sosial, di kampung Orang Asli dan kawasan pendalaman dari 2020 hingga Jun tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pelaburan yang besar ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam mengutamakan kesejahteraan dan kemajuan komuniti luar bandar.

"Infrastruktur yang berkualiti tinggi dapat menarik pelaburan, menjana peluang pekerjaan, dan menggalakkan amalan pertanian mampan.

"Dengan memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur luar bandar, kita meletakkan asas bagi pertumbuhan inklusif dan pengurangan kemiskinan," katanya dalam ucapan perasmian Simposium Perancangan dan Pembangunan Desa Negara Peringkat Kebangsaan Tahun 2024, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Ahmad Zahid berkata beliau menyedari kepentingan pembangunan infrastruktur luar bandar untuk memajukan sosioekonomi sesebuah negara.

Beliau berkata infrastruktur berkualiti tinggi, termasuk jalan raya, jambatan, kemudahan penjagaan kesihatan, sekolah dan ketersambungan digital, semuanya asas kepada pembangunan luar bandar yang berkesan.

"Infrastruktur yang lebih baik memudahkan akses kepada pasaran, membolehkan petani menjual produk mereka dengan lebih cekap dan mendapatkan harga yang lebih baik," katanya.

"Penjagaan kesihatan dan kemudahan pendidikan yang dipertingkatkan meningkatkan kualiti hidup, mengurangkan migrasi dari luar bandar ke bandar, dan membolehkan penduduk luar bandar menyumbang dengan lebih berkesan kepada ekonomi," katanya.

Ahmad Zahid berkata bahawa adalah penting untuk memanfaatkan teknologi digital dan Kecerdasan Buatan (AI) bagi membawa perubahan besar terhadap ekonomi luar bandar.

“Pendigitalan boleh meningkatkan produktiviti pertanian, meningkatkan penyampaian penjagaan kesihatan dan mencipta peluang ekonomi baharu.

“AI, sebaliknya, boleh dimanfaatkan untuk menyediakan penyelesaian pintar dalam pertanian, pengurusan sumber dan tindak balas bencana,” katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut melancarkan Spatial Characteristics of Rural Malaysia System (S-CHARMs), yang boleh digunakan oleh semua agensi, institusi pengajian tinggi dan pertubuhan bukan kerajaan untuk mendapatkan maklumat mengenai infrastruktur luar bandar, tanah dan profil kampung di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

S-CHARMs dibangunkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui PLANMalaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan