AM

Infineon Secara Rasmi Buka Fasa Pertama Kilang Fabrikasi SIC Baharu Di Kulim

08/08/2024 06:08 PM

KULIM, 8 Ogos (Bernama) -- Infineon Technologies AG (Infineon) secara rasmi membuka fasa pertama kilang fabrikasi semikonduktor kuasa silikon karbida (SiC) 200 milimeter di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) di sini, hari ini.

Fasa pertama kilang fabrikasi yang melibatkan pelaburan €2 bilion (1 euro=RM4.908) itu akan menumpukan pengeluaran semikonduktor kuasa SiC, termasuk epitaksi galium nitrida (GaN).

Ketua Pegawai Eksekutif Infineon Jochen Hanebeck berkata menerusi kilang fabrikasi baharu itu, syarikat dapat memenuhi permintaan dari pelbagai pasaran yang dijangka berkembang kukuh dalam jangka masa panjang.

“Kami mempunyai visi yang jelas di Infineon iaitu memacu penyahkarbonan, pendigitalan bersama. Infineon Kulim mempunyai peranan penting dalam memenuhi visi ini.

“Apabila fasa kedua pengembangan di Kulim selesai, kilang ini akan menjadi kemudahan fabrikasi semikonduktor kuasa SiC 200 milimeter terbesar dan paling kompetitif di dunia,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada majlis perasmian Infineon Technologies Kulim 3 di KHTP hari ini.

Kilang baharu itu dibuka secara rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hanebeck berkata fasa pertama projek itu akan mewujudkan 900 pekerjaan bernilai tinggi manakala untuk fasa kedua, dengan pelaburan €5 bilion (RM24.4 bilion) lagi, sebanyak 4,000 pekerjaan akan diwujudkan.

“Memandangkan permintaan terhadap semikonduktor sentiasa akan meningkat, pelaburan di Kulim sangat menarik bagi pelanggan kami, yang menyokong menerusi pembayaran pendahuluan mereka. Tindakan itu juga meningkatkan daya tahan rantaian bekalan untuk komponen penting yang diperlukan bagi peralihan hijau,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan