EKONOMI

Vetece Bakal Ke Pasaran ACE Sasar RM24.5 Juta Daripada IPO

08/08/2024 05:33 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Vetece Holdings Bhd menyasar untuk mengumpul RM24.5 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 28 Ogos ini.

Vetece ialah penyedia penyelesaian teknologi maklumat (IT) perusahaan dengan portfolio meliputi penyepaduan aplikasi dan pengurusan daftar masuk tunggal, kejuruteraan dan analitik data, pengurusan perhubungan pelanggan, ujian perisian serta infrastruktur peralatan dan perisian di premis dan awan.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Chan Wai Hoong berkata penyenaraian di Pasaran ACE akan memberi peluang baharu untuk mempercepat rancangan pertumbuhan syarikat dan memanfaatkan peluang luas dalam industri yang pantas dan pesat berkembang.

“Kami merancang untuk mengembangkan portfolio penyelesaian IT perusahaan kami dengan teknologi kecerdasan buatan (AI), memandangkan ada permintaan yang semakin meningkat untuk syarikat seperti kami melaksanakan penyelesaian AI.

“AI adalah masa depan dan saya percaya AI menjadi semakin penting dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang,” katanya pada sidang media sempena pelancaran prospektus di sini, pada Khamis.

Beliau berkata rancangan bagi mengukuhkan penyepaduan aplikasi perusahaan serta penyelesaian kejuruteraan dan analitik data perusahaan juga akan terus dilakukan.

“Pada masa sama, kami menyasar untuk menubuhkan pusat kecemerlangan bagi penyelesaian perisian bertujuan mengembangkan keupayaan kami dalam mengendalikan projek pelanggan antarabangsa di luar Malaysia,” katanya.

Menerusi kenyataan susulan pelancaran prospektus itu, Vetece akan memperuntukkan RM2.2 juta atau sembilan peratus daripada keseluruhan hasil untuk memperkenalkan penyelesaian pengendalian dan analitik data dipacu AI, bertujuan melengkapkan penawaran penyelesaian IT perusahaan sedia ada.

Sebanyak RM3.3 juta atau 13.4 peratus pula akan digunakan untuk memperkukuh operasi Singapura dalam usaha memanfaatkan peranan negara sebagai pintu masuk ke rantau Asia Pasifik.

Vetece menjelaskan RM3.8 juta atau 15.5 peratus akan digunakan untuk menubuhkan pusat kecemerlangan dalam mengembangkan lagi jejak geografinya.

Usaha itu akan membolehkan syarikat melaksanakan projek luar negara dari Malaysia, memastikan keselamatan data, kecekapan kos dan berfungsi sebagai pusat demonstrasi untuk mengetengahkan penyelesaian IT perusahaannya.

Sementara itu, RM6.5 juta atau 26.6 peratus akan digunakan untuk yuran pelesenan perkakasan dan perisian, RM4.0 juta atau 16.3 peratus untuk pembayaran balik pinjaman, dan RM4.7 juta atau 19.2 peratus untuk perbelanjaan berkaitan IPO, tambah syarikat itu.

“Langkah IPO itu meliputi terbitan awam sebanyak 98 juta saham biasa baharu mewakili 25 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan, serta tawaran penjualan 39.2 juta saham sedia ada atau 10 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan, melalui tawaran persendirian kepada pelabur terpilih.

“Daripada 98 juta saham baharu itu, sebanyak 19.6 juta saham baharu akan disediakan untuk orang ramai Malaysia melalui pengundian, manakala 9.8 juta lagi diperuntukkan untuk pengarah, kalangan tenaga kerja pengurusan kanan utama, pekerja serta individu yang menyumbang kepada kejayaan syarikat,” menurut Vetece.

Syarikat itu memaklumkan baki 68.6 juta saham baharu akan dikhaskan untuk tawaran persendirian kepada pelabur terpilih.

“Berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 392 juta saham dan harga IPO 25 sen sesaham, Vetece akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM98.0 juta apabila disenaraikan,” jelasnya.

Susulan pelancaran prospektus itu, permohonan bagi terbitan awam dibuka mulai hari ini dan akan ditutup pada 14 Ogos, 2024, pada pukul 5 petang.

Kenanga Investment Bank Bhd ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen tawaran bagi IPO.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan