EKONOMI

MGA sasar hubungan lebih erat antara pasaran emas China dan ASEAN

08/08/2024 07:55 PM

GEORGE TOWN, 8 Ogos (Bernama) -- Persatuan Emas Malaysia (MGA) mengenal pasti wujudnya potensi dalam meningkatkan aspek pertukaran pada masa depan di samping mengukuhkan kerjasama antara pasaran emas China dan Asean.

MGA menjelaskan Malaysia, berasaskan lokasi strategik, kepelbagaian demografi, keupayaan berbilang bahasa dan dasar mesra perniagaan, berkedudukan ideal sebagai hab perdagangan emas utama bagi negara yang memasuki pasaran Asia Tenggara.

Menerusi kenyataan pada Khamis, MGA memaklumkan perkara itu disuarakan semasa pertemuan dengan pihak Bursa Emas Shanghai (SGE) pada Kongres dan Ekspo Emas China 2024 yang berlangsung dari 26 hingga 28 Julai lepas di Shanghai, China.

Presiden Datuk Louis Ng telah dijemput oleh Persatuan Emas China (CGA) untuk berucap pada kongres tersebut, tambah persatuan itu.

Beliau berkata penyertaan delegasi dalam Kongres dan Ekspo Emas China 2024 sangat membuahkan hasil, bukan sahaja meningkatkan kebolehlihatan global terhadap MGA malah juga meletakkan asas kukuh untuk kerjasama antarabangsa masa depan dalam industri emas Malaysia.

“Pertemuan dengan beberapa organisasi antarabangsa memperkukuh kedudukan dan pengaruh Malaysia dalam pasaran emas Asia Tenggara,” katanya dalam kenyataan yang sama.

MGA menjelaskan Ng membentangkan tajuk ‘Pasaran Emas dan Barang Kemas Malaysia: BRI dalam Hubungan Perdagangan Malaysia-China’ pada kongres itu.

Dalam pembentangan itu, beliau memberikan pandangan mengenai trend emas dan barang kemas Malaysia, saiz pasaran, tingkah laku pengguna dan rangka kerja kawal selia selain mengetengahkan pelbagai kelebihan pasaran Malaysia.

Kongres dan ekspo itu merupakan acara industri emas antarabangsa terbesar China, bertujuan memudahkan pertukaran dan kerjasama antarabangsa, menawarkan platform untuk peserta industri belajar antara satu sama lain di samping membincangkan isu bersifat progresif dalam industri emas global.

Acara tahun ini, bertemakan ‘Pembangunan Hijau dan Masa Depan Bersama dipacu Inovasi’, menumpukan tiga sektor utama iaitu perlombongan emas, pasaran emas dan penggunaan emas.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan