POLITIK

PRK Nenggiri: Pengundi Felda jangan jadi mangsa kempen - Ahmad Zahid

09/08/2024 07:24 PM

GUA MUSANG, 9 Ogos (Bernama) -- Pengundi di Felda Perasu di sini, diingatkan supaya tidak menjadi mangsa kepada janji-janji yang ditabur ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang sedang berlangsung.

Sebaliknya, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu penduduk di tanah rancangan itu yang dibentuk dan ditubuhkan kepimpinan BN sebelum ini, berfikir sebaik-baiknya sebelum mengundi pada 17 Ogos ini.

"Jika ada pihak luar mahu rosakkan Felda, saya minta peneroka di sini tolaklah mereka kerana yang menjadi mangsa ialah peneroka di Felda Perasu.

"Mereka hanya datang berkempen dan sebaik tamat, mereka pulang ke tempat masing-masing. Jadi, fikir secara waras,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra "Peneroka dan Felda Berpisah Tiada" di Dewan Semai Perasu di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Felda Perasu mempunyai sebanyak 1,724 pemilih berdaftar dan merupakan satu-satunya Felda di bawah DUN Nenggiri.

Timbalan Perdana Menteri berkata selama ini, terbukti segala kebajikan mereka dijaga dengan baik kerajaan pusat dan beliau memberi komitmen bahawa tanah rancangan itu terus menjadi keutamaannya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata ketika ini, beliau menerima banyak surat permohonan membabitkan isu dibangkitkan peneroka Felda di seluruh negara dan beliau berjanji akan lakukan yang terbaik untuk menyelesaikannya.

“Sekali saya berazam untuk melakukan, pasti saya akan lakukan yang terbaik, insya-Allah … kalau mahu cari dahan berteduh, carilah dahan yang teguh, kalau nak bermudik, bermudiklah di muara yang tenang, kalau nak minta, mintalah pada yang ada, kalau nak merayu, merayulah pada yang sayang.

“Banyak perkara yang diminta, tetapi saya yakin jika ada orang di luar Perasu mahu merosakkan Perasu, kita tolaklah buat sementara waktu … saya bukan anak Felda, tapi ada ramai saudara-mara dari Felda … apa yang penting sekali, saya diberi tanggungjawab untuk menjaga Felda, saya berjanji Felda ialah keutamaan saya," katanya.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail. 

Ia diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan